Serah borang di lokasi road tour
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Peti khas disediakan untuk pembaca di Kompleks Pasir Gudang, SACC Shah Alam
JANGAN panik jika anda masih belum menghantar borang undian untuk artis pilihan anda yang disenaraikan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) sedangkan tarikh tutupnya adalah pada Ahad ini.
Untuk memudahkan pembaca terutama yang tinggal di Johor Bahru dan sekitar Lembah Klang, pihak penganjur akan menyediakan peti khas di Kompleks Pasir Gudang (21 dan 22 Mac) dan Shah Alam City Centre (22 dan 23 Mac), destinasi terakhir siri jelajah promosi ABPBH sebelum malam kemuncak pada 30 Mac ini berlangsung di Genting Highlands.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH2007, Hanizam Abdullah bagaimanapun berkata, pihak penganjur tetap akan menerima borang yang sampai sehingga Isnin ini memandangkan tarikh tutup iaitu 23 Mac jatuh pada hari Ahad.
“Petugas kira undi akan terus menjalankan kerja mereka sehingga Jumaat ini. Jadi jangan khuatir kerana pihak penganjur akan mengira setiap undian yang dihantar kerana setiap undian itu begitu berharga dan boleh menentukan kalah atau menangnya seseorang calon itu.
“Berita Harian juga amat berpuas hati kerana tahun ini, jumlah penyertaan begitu menggalakkan,” katanya.
Sementara itu, selepas sambutan yang begitu menggalakkan di Plaza Kota Raya, Johor Bahru minggu lalu, finalis akan menggegarkan kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang pula.
Kompleks itu menjadi pilihan berikutan sambutan menggalakkan yang diterima setiap kali ABPBH berkunjung ke sana.
Pengurus Pemasaran dan Promosi, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi), Mas Ayie Mas Omar berkata, berdasarkan pengalaman penganjuran ABPBH yang lalu di Pasir Gudang, lokasi berkenaan mencatat jumlah penonton paling ramai.
“Kami jangkakan jumlah penonton di Kompleks Bandar Pasir Gudang memberangsangkan berikutan sokongan yang kami terima menerusi pengalaman siri jelajah yang lalu. Pasir Gudang menjadi lokasi kegemaran kami kerana sambutannya sangat bagus.
“Tahun ini juga mencatat sejarah apabila siri jelajah promosi diadakan serentak pada minggu yang sama kerana kami terpaksa membatalkan rancangan awal berikutan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi.
Artis popular tempatan bakal memeriahkan Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang bermula jam 2 hingga 7 malam. Barisan artis yang terbabit kali ini ialah Raja Azura, Diddy, Azwan Ali, Aaron Aziz, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Farah Asyikin, Adam, Zul Yahya, Jaclyn Victor, Bard R1, Fiq (Hot FM), Mirwarna dan Royce.
Selain menyaksikan persembahan finalis ABPBH dan artis undangan, pengunjung Kompleks Pasir Gudang juga berpeluang memenangi hadiah menarik berupa barangan cenderahati ABPBH dan juga hadiah dari Habib Jewels Sdn Bhd.
Bukan itu saja, acara wajib yang semestinya dinanti-nantikan pembaca setia Berita Harian ialah bersiar-siar dengan kereta Peugeot bersama artis pujaan mereka.
Menurut Mas Ayie lagi, penduduk di sekitar Pasir Gudang juga berpeluang menyertai pertandingan karaoke yang dikendalikan Isma Halil Hamzah pada Jumaat malam di tempat yang sama. Pertandingan karaoke terbuka kepada semua pengunjung dan peserta yang berjaya akan dinobatkan sebagai Bintang Popular Terbuka.
Acara karaoke itu diadakan di semua lokasi yang dikunjungi rombongan ABPBH 2007. Sambutan yang diterima di setiap lokasi juga amat menggalakkan. Tambah Mas Ayie lagi, minggu ini juga minggu terakhir untuk pembaca mendapatkan barangan cenderahati eksklusif ABPBH bagi edisi 2007.
Sementara itu, bagi penduduk di sekitar Shah Alam, Klang dan juga Lembah Klang, nantikan kemunculan Fara Fauzana, Faizal Ismail, Leya, AG, Ikhwan, Anne, Azura, Aznil Nawawi, Raja Azura, Dafi, Diddy, Aaron Aziz, Azwan Ali, Ac Mizal, Mirwana, Fahrin Ahmad, Linda Onn, Anuar Zain, Mila, Mawi, Farah Asyikin, Jaclyn Victor, Kristal dan Hazami di SACC Mall, Shah Alam pada hari Ahad dari jam 2 hingga 7 malam.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


