ABPBH medan JVC promosi produk
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Penajaan keempat bukti jalinan kerjasama jayakan majlis berprestij beri manfaat kepada syarikat
SEJAK diperkenalkan dua dekad lalu, anugerah yang mengangkat populariti artis berdasarkan cita rasa dan pilihan pembaca, Anugerah Bintang Popular Berita Harian terus mendapat sokongan tajaan dari pelbagai syarikat korporat. Antara yang tidak pernah ketinggalan untuk turut serta menjadi penaja adalah JVC Sales & Services (M) Sdn Bhd.
Malah ini adalah kali keempat berturut-turut syarikatnya terbabit dalam penganjuran anugerah berprestij itu.
Mengulas pembabitan JVC dalam acara tahunan ini, Eksekutif Kanan Pemasaran JVC Sales & Services (M) Sdn Bhd, Steven Woo, ketika dihubungi Hip berkata penajaan itu membuktikan sokongan mereka terhadap majlis yang menghargai penggiat hiburan tempatan dalam pelbagai cabang seni serta sebuah perkongsian bijak.
“Setiap tahun kita lihat penganjuran acara ini semakin mendapat sokongan ramai dari setahun ke setahun dan sekali gus popularitinya turut meningkat. Dan pastinya ini adalah satu peluang yang baik buat kami kerana secara tidak langsung ia turut membantu kami mempromosikan produk kami.
“Tidak dinafikan juga produk JVC memang tidak boleh dipisahkan dengan dunia hiburan. Malah, setiap produk yang dihasilkan menepati unsur hiburan, sejajar dengan kepakaran syarikat ini dalam penghasilan produk audiovideo.
“Ia juga sebagai menghargai kerjasama diberikan penganjur majlis anugerah ini. Berita Harian sebelum ini memang banyak memberikan sokongan kepada JVC dan kami menganggap tajaan ini sebagai platform terbaik untuk terus mengeratkan kerjasama kami,” katanya mengakui kerjasama antara JVC dan Berita Harian untuk penganjuran dan penajaan majlis berprestij itu lebih dianggap sebagai situasi menang-menang.
Tambah Steven lagi, mereka berpuas hati dengan pulangan yang diterima apabila menjadi sebahagian daripada penaja acara tahunan ini.
“Dari segi publisiti yang kami terima memang memuaskan dan kerana itulah kami tidak teragak-agak untuk kembali bekerjasama dengan akhbar ini,” katanya sambil menjelaskan penyertaan JVC dalam acara itu turut mempopularkan jenamanya di seluruh negara, sekali gus memantapkan strategi pemasaran produk keluarannya.
Untuk tahun ini, keseluruhannya, JVC menaja pelbagai produk untuk habuan pembaca yang berjaya meneka dengan tepat pemenang anugerah dengan nilai tajaan RM30,000.
Antaranya, dua set TV LCD bersaiz 32 dan 42 inci, masing-masing berharga RM2,999 dan RM7,999, selain empat unit camcorder berharga RM1,999 setiap satu; sebuah sistem teater rumah (RM1,699) dan dua set pemain DVD Hi-Fi (RM1,199 seunit).
Ditanya apakah mereka kembali bekerjasama dengan ABPBH untuk tahun hadapan, Steven berkata mereka memang menanti-nantikan detik itu.
“Kami memang sentiasa bersedia untuk menaja acara ini. Sama ada nilainya bertambah atau tidak, terpulang kepada kertas kerja yang akan diserahkan pihak penganjur,” kata Steven.
Majlis kemuncak ABPBH 2007 yang bertema Gemilang Bersama Bintang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 30 Mac ini, akan turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 selaku Hos Penyiar TV Rasmi.
Selain JVC, penganjuran acara berprestij ini turut mendapat kerjasama penaja lain termasuk Habib Jewels Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd, Hot FM, MaraLiner, Loreal, POTO Travel & Tours dan Palace Of Golden Horses.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


