ABPBH angkat pereka muda
Oleh Fadzlena Jafar
Pembabitan dalam majlis berprestij beri laluan perkenalkan nama
MESKIPUN sejak beberapa tahun kebelakangan ini pelbagai acara besar membabitkan fesyen diadakan di negara ini dengan tujuan meningkatkan industri tempatan selain mencungkil bakat baru dalam bidang rekaan, tidak keterlaluan jika dikatakan masih kurang yang berjaya mencipta nama setanding pereka sedia ada.
Jika ada pun, hanya beberapa nama seperti Scott Chu Heng Huat, pemenang Hadiah Pereka Muda Terbaik pada Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia yang pertama kali diadakan pada 2003 dan Hatta Dolmat yang pernah memenangi beberapa anugerah dalam dan luar negara. Malah, khabarnya tidak ramai selebriti terkenal yang berani untuk mencuba rekaan dihasilkan kerana bimbang penampilan tidak sehebat pereka fesyen tersohor.
Kebanyakan pereka fesyen muda yang ditemui pada perjumpaan persediaan pereka fesyen Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di balai berita, baru-baru ini mengakui sukar untuk mencipta nama sebaris dengan pereka fesyen sedia ada.
Malah, kebanyakannya masih beroperasi daripada rumah dan ini sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk memperkenalkan diri kepada pengguna berbanding pereka fesyen yang mempunyai butik sendiri dan dapat mempamerkan hasil kerja mereka.
Justeru, pembabitan dalam majlis berprestij seperti ABPBH dianggap pucuk dicita ulam mendatang yang tidak boleh dilepaskan untuk memperkenalkan nama dalam industri fesyen tanah air.
Rizman Nordin daripada Rizman Ruzaini mengakui kerjasama dengan beberapa selebriti terkenal tempatan membuka laluan lebih mudah kepada beliau dan rakan kongsinya, Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil untuk lebih dikenali.
“Kita tidak boleh menidakkan rezeki, walaupun kami kurang masuk pertandingan, pembabitan dengan selebriti banyak membantu memperkenalkan nama Rizman Ruzaini. Buktinya, jenama kami semakin dikenali apabila nama besar dalam industri hiburan, Ziana Zain menggayakan rekaan Rizman Ruzaini seperti baju, kasut dan beg pada ABPBH 2006.
“Sejak itu, nama kami mula mendapat perhatian, malah penyanyi nombor satu Datuk Siti Nurhaliza juga mendapatkan khidmat kami selepas tertarik melihat penampilan Ziana. Kami benar-benar bersyukur dengan peluang itu dan kini beberapa nama terkenal turut menggayakan rekaan kami,” katanya.
Selain Ziana Zain, beberapa artis lain yang tidak ketinggalan menggayakan rekaan Rizman Ruzaini termasuk Erra Fazira, Ning Baizura, Betty Banafe dan Pija. Malah, jika anda masih ingat pada perkahwinan Ning Baizura baru-baru ini, penyanyi tersohor itu ada menggayakan sepasang busana songket biru indah yang mencuri perhatian. Busana berkenaan turut dihasilkan oleh kedua-dua pereka berbakat itu.
Berdasarkan kejayaan itu, Rizman Ruzaini sekali lagi menerima jemputan penganjur ABPBH untuk menghasilkan rekaan beberapa selebriti pada acara kemuncak pada 30 Mac ini.
“Bagi ABPBH kali ini, saya akan menyediakan rekaan bagi Erra Fazira, Ning Baizura dan Nurul menggunakan motif batik yang kami rasakan serasi dengan penampilan serta imej mereka. Ning umpamanya akan mengenakan busana dengan warna utama coklat tanah, manakala Erra kuning dan Nurul Biru terang.
“Pemilihan warna selari dengan warna pilihan antarabangsa tahun ini iaitu warna terang, tetapi rekaan dan potongan diilhamkan daripada jenama antarabangsa terkenal Christian Dior. Begitu pun bagi rekaan dihasilkan ada ciri tempatan, umpamanya pengaruh kebaya bagi busana Ning,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH 2007 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah, berkata berbeza dengan penganjuran acara itu sebelum ini, pihaknya ingin membawa kelainan dengan menganjurkan anugerah khusus untuk pereka fesyen yang terbabit menyediakan rekaan untuk selebriti
“Hiburan dan fesyen tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya saling berkaitan. Justeru itu, pada ABPBH kali ini kami menyediakan anugerah khas untuk pereka fesyen iaitu Pereka Fesyen Terbaik pilihan juri dan Pereka Fesyen Popular yang dipilih oleh pembaca Berita Harian.
“Kami berharap ini adalah satu permulaan bagi sesuatu yang lebih besar pada masa depan bagi meningkatkan lagi martabat industri fesyen tanah air,” katanya.
ABPBH 2007 memilih tema Batik Glam dengan objektif memartabatkan batik Malaysia yang kini semakin mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa.
Seramai 14 pereka fesyen tampil pada majlis itu tampil memperkenalkan rekaan yang dihasilkan untuk selebriti yang bakal menggayakan busana berkenaan. Meskipun sekadar lakaran, rekaan dihasilkan menunjukkan pereka berkenaan sudah bersedia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pereka fesyen terkenal ketika ini.
Begitu pun untuk berjaya, pereka fesyen berkenaan perlu mempunyai idea tersendiri dan tampil dengan rekaan yang mempunyai sentuhan atau jiwa tempatan jika ingin mencipta nama seperti pereka sedia ada khususnya pada peringkat antarabangsa. Rekaan yang diilhamkan daripada jenama dari Barat tidak dapat membantu kerana industri fesyen antarabangsa inginkan sesuatu yang unik. Lihat saja pereka fesyen seperti Tom Abang Saufi yang rekaannya digemari di Eropah, malah isteri kepada bekas Perdana Menteri Britain, Cherie Blair pada dilihat mengenakan rekaan beliau.
FAKTA
Rekaan pereka fesyen untuk ABPBH 2007:
Rizman Ruzaini
Selebriti: Ning Baizura (gaun berwarna coklat tanah), Erra Fazira (gaun berwana kuning) dan Nurul (gaun biru terang).
Kent daripada Kentchoize de Boutique
Selebriti: Aleeza Kassim bakal mengenakan rekaan berwarna hitam dan putih.
Hazwani Osman
Selebriti: Sharifah Shahira (gaun potongan empire berwarna ungu), Ijoy (tuksedo hitam) dan Diddy (tuksedo hitam).
Norazura Mazaruddin daripada Azura Couture
Selebriti: Nora Danish (gaun bercorak jalur biru), Fauziah Gous (gaun berwarna hitam dan merah jambu), Rozita Che wan (gaun labuh berwarna kuning dan merah jambu), Nasreen Ngasri (gaun potongan empire berwarna hijau).
Khairy Sufi
Selebriti: Sharifah Amani (gaun berwarna hijau).
Faizal Azraf
Selebriti: fauziah latif (gaun berwarna kuning keemasan)
Zery Zamry
Selebriti: Dynas (gaun stail Inggeris berwarna kuning), Marsha (gaun berwarna coklat pastel) dan Bob (tuksedo putih).
Michael Shu
Selebriti: Datuk Siti Nurhaliza, Lisdawati, Diana Danielle dan Irma Hasmi
Nazreen Idris
Selebriti: Anne Ngasri (gaun berwarn merah)
Mohd Fitri Zainal Abidin
Selebriti: Nana Era (menghasilkan dua rekaan - gaun berbentuk chandelier dan kebaya0
Erwan AS
Selebriti: Kencana (gaun berwarna jingga dengan motif kemboja)
Anizam Yusof
Selebriti: Nita Malaysia Idol dan Meet Uncle Husein
Hatta Dolmat
Selebriti: Julia Ziegler (gaun berwarna hijau limau nipis) dan Mila AF6 (trench coat berwarna hijau firus dan hitam)
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


