Warna garang jadi pilihan
Oleh Farihad Shalla Mahmud
BERKERUT wajah tiga jejaka ini apabila diberitahu mereka bakal menggayakan fesyen tuksedo berwarna-warni menjelangnya malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007), 30 Mac ini. Iyalah, biasanya apabila menyebut tuksedo, apa yang tergambar di fikiran adalah konsep `penguin' iaitu rona hitam dan putih. Tapi kali ini, warna yang digunakan cukup `meriah' dan mampu menarik perhatian ramai.
Paling terkejut apabila dimaklumkan perkara itu ialah anak bujang Datuk Yusof Haslam, Shamsul yang dikehendaki memakai tuksedo berwarna merah jambu. Khabarnya, pengarah muda ini akan bergandingan dengan buah hatinya, Diana Danielle yang juga akan berpakaian sedondon bagi menjalankan tugas sebagai penyampai trofi untuk acara itu.
"Memang tak sangka kena pakai tuksedo merah jambu. Selalunya kalau sebut tuksedo, orang akan ingat warna hitam putih. Macam itu juga saya ketika hendak datang sini tadi.
"Justeru, apabila diberitahu warna yang dipilih untuk saya merah jambu, memang saya terkejut. Tiba-tiba rasa risau kerana saya tidak pakai baju merah jambu. Lagi pun, mana ada orang lelaki pakai merah jambu.
"Tapi apabila mereka (pereka) mengatakan saya sesuai mengenakan warna seperti ini kerana kulit saya cerah. Saya bukanlah cerewet orangnya.
Asalkan menarik, saya okay saja. Lagi pun ini kali pertama saya menghadiri acara seperti ini serta ditaja pakaiannya," ujar Shamsul teruja.
Selain Shamsul, pelakon Aaron Aziz juga terpempan seketika apabila dimaklumkan dia bakal menggayakan tuksedo berwarna ungu untuk acara penuh berprestij itu. Jenuh juga pereka fesyen dan pemilik butik Lord's Tailor, Mrs Loh serta Bill Bora yang menawarkan diri membantu Berita Harian dalam soal ini, menjelaskan mengapa dia perlu memakai warna sebegitu sebelum jejaka dari Seberang Tambak ini menyatakan persetujuannya.
"Saya ini kalau bahagian fesyen, memang tak pandai sangat. Jadi apabila Bill memberitahu yang Lord's Tailor sudi menaja pakaian saya, rasa bersyukur sangat. Maklumlah, ini kali pertama saya menghadiri acara glamor seperti ini.
"Cuma saya tak nafikan agak janggal untuk saya memakai warna ungu. Maklumlah, kebanyakan pakaian saya sebelum ini kalau tak warna hitam, warna-warna bumi," dedah jurucakap Loreal ini sambil ketawa.
Situasi itu turut dikongsi bersama aktor dan pengarah Pierre Andre yang akan mengenakan tuksedo coklat untuk acara penuh berprestij itu.
"Saya macam Aaron juga, ingat dapat tuksedo warna hitam, tapi ruparupanya warna coklat. Lagi pun warna ini saja yang tinggal, sebab yang lain semua sudah diambil orang.
"Tapi tak mengapa, saya memang suka mencuba sesuatu yang baru walaupun kalau boleh saya lebih gemarkan warna-warna kusam sebab ia bersesuaian dengan personaliti saya yang pemalu serta tidak suka terlalu menonjol," ujar Pierre yang turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.
Jika Shamsul, Aaron dan Pierre ragu-ragu untuk mengenakan tuksedo berwarna-warni, lain pula halnya dengan pelakon Dunia Baru The Movie, Iqram Dinzly. Iqram yang turut hadir untuk sesi mengambil ukuran baju itu memang sudah bersedia untuk mengenakan fesyen sedemikian. Malah, dia juga sejak awal lagi sudah memilih warna keemasan untuk dipakai pada acara gemilang itu.
"Tak salah rasanya kalau sesekali kita tampil di luar daripada kebiasaan. Lagi pun apabila sesekali pakai baju warna terang seperti ini untuk acara seperti ABPBH, barulah nampak ranggi sikit," ujar Iqram yang turut membeli sepasang kasut berwarna sedondon dengan tuksedonya itu.
Mengenai pandangannya berhubung dengan konsep Batik Glam yang diperkenalkan untuk ABPBH tahun ini, Iqram berkata, pengaruh besar yang dimiliki acara tahunan ini mampu menggemilangkan lagi seni rekaan batik yang kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
"Kalau di negeri China terkenal dengan sutera dan India cukup popular dengan sari, rasanya tak salah jika kita terus mempromosikan batik supaya ia tidak lenyap ditelan zaman dan arus kemodenan lain," ujar Iqram yang akan bertindak sebagai penyampai trofi bersama pasangannya dalam filem itu, Anne Ngasri.
Sejajar dengan tema yang diperkenalkan, tuksedo itu akan dipasangkan dengan kemeja bercorak batik yang akan direka khas oleh Michael Shu. Dengan kepakaran yang ada, Michael akan memastikan setiap tuksedo akan mendapat rekaan batik yang sesuai termasuk corak serta warnanya.
Sementara itu, mengulas pemilihan warna-warna terang untuk tuksedo selebriti terbabit, Bill berkata, idea itu timbul selepas mereka berasa bosan dengan konsep penguin yang sering ditampilkan dalam acara ini sejak beberapa tahun lalu.
"Ini bukanlah perkara baru kerana kalau kita lihat di negara Eropah, fesyen seperti ini sudah lama digayakan. Jadi sekurang-kurangnya nanti kita akan lihat satu pemandangan yang berbeza untuk ABPBH tahun ini sekali gus menyuntik satu suasana baru untuk seni rekaan fesyen di negara ini," ujar Bill sambil menunjukkan majalah fesyen luar negara yang memaparkan gambar model menggayakan tuksedo berwarna garang dan ceria di pentas peragaan.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


