Oleh Zaidi Mohamad
HEBAT, fantastik dan spektakular begitulah gambaran persembahan Dreamz yang dipertontonkan kepada wakil media bersama pengunjung lain pada 12 Mac lalu di The Pavilion, First World Plaza, Genting Highlands. Kota Keriangan itu juga menjadi lokasi rasmi berlangsungnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 pada 30 Mac ini.
Dreamz menghimpunkan pertunjukan dua ahli silap mata antarabangsa iaitu Enrique Polo dari Sepanyol dan Loris Togni Allessandro (Itali), penunggang motosikal `berani mati' dari Brazil dan Sepanyol, sekumpulan akrobat muda dari China, penari profesional dari Belarus dan Ukraine.
Menjadi pelengkap persembahan itu ialah pemuzik orkestra dari Armenia dan seorang penyanyi solo dari Moscow. Penampilan istimewa turut dikejutkan dengan kemunculan haiwan ganas yang sudah dijinakkan oleh Enrique Polo iaitu seekor singa dan harimau putih.
Seiring dengan nama pertunjukan Dreamz itu ia berlatarkan perjalanan magis seorang puteri yang tertidur dan terjaga dalam mimpi yang penuh misteri, bertemu dengan pelbagai karakter dan landskap yang indah. Persembahan Dreamz dipentaskan sejak 7 Februari lalu sehinggalah kini.
Timbalan Presiden Promosi dan Hiburan, Resorts World Bhd, Ng Khen Leong berkata pertunjukan yang berdurasi selama satu jam 20 minit dan yang menelan belanja jutaan ringgit itu akan dilanjutkan sehingga hujung tahun ini jika ia mendapat sambutan menggalakkan pengunjung Genting.
"Saya lebih tertarik untuk menonton haiwan yang ditampilkan dalam pertunjukan ini. Dulu saya hanya melihat karakter haiwan seperti harimau dan singa itu dalam versi animasi," katanya sambil bergurau.
"Pertunjukan ini patut anda saksikan dan rugi jika ada terlepas menonton. Saya jamin anda pasti terhibur dan menjadi momen terindah dalam hidup anda. Kredit penghargaan harus diberi kepada tenaga produksi depan dan belakang tabir yang bekerja keras memastikan kejayaan dalam segala aspek termasuklah tajaan saluran ntv7 sebagai TV rasmi, Mas Cargo dan Genting WorldCard.
"Kami sebagai penerbit pertunjukan ini akan melanjutkan tarikh persembahan. Besar kemungkinan akan dipanjang hingga hujung tahun ini. Tapi semuanya bergantung kepada respon orang ramai yang akan datang menonton," kata Ng.
Sidang media yang berlangsung turut dihadiri dua ahli magis iaitu Enrique Polo dan Loris Togni Allexandro. Enrique Polo yang juga dikenali sebagai Master Of Beast sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam arena sarkas dan magis.
"Saya sudah pernah terbabit dalam lebih 400 pertunjukan di serata dunia. Harimau saya juga pernah berlakon dalam filem Gladiator. Pengarah tersohor dari Hollywood, Steven Spielberg juga kepingin membeli harimau milik saya tapi saya keberatan untuk menjualnya. Komunikasi saya bersama haiwan peliharaan menjadi nadi untuk menghubungkan saya bersama mereka. Mereka juga ada perasaan," kata Enrique.
Sementara Loris Togni Allessandro pula berkata, kombinasi semua pihak termasuk penari, penyanyi, akrobat, haiwan dan pelumba motosikal menjadi elemen penting kepada kelangsungan pertunjukan itu.
"Ini kali ketiga saya membuat persembahan di Malaysia. Saya pasti kolaborasi semua pihak tidak kira yang di depan pentas atau di belakang pentas menjadi nadi untuk pertunjukan yang sesuai ditonton seisi keluarga tak mengira lapisan umur.
"Saya harap yang datang menonton akan terhibur. Sebagai manusia biasa tapi apabila menyentuh bab profesionalisme, soal mood sama ada baik atau tidak dan sakit atau sihat bukan persoalannya. Sebaliknya apabila berada di atas pentas, saya akan pastikan semuanya berjalan lancar," kata Loris yang sudah mula membuat persembahan sejak berumur 14 tahun.
FAKTA
Dreamz
Hantar kepada kawan Format pencetak


