'Cincin memang hadiah Ikin'
ISU cincin yang tersarung di jari manis Mawi nampaknya masih belum berkesudahan sehingga kini. Selagi tidak dijelaskan bagaimana cincin yang sama boleh tersarung di jari Ikin, selagi itulah Mawi mahupun Ikin terus menjadi buruan media yang inginkan kepastian kedua-dua belah pihak.
Bertemu Mawi ketika penyanyi ini menghadiri siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) di Johor Bharu, Sabtu lalu, persoalan yang sama turut diajukan padanya.
"Alamak! Nak kena cerita pasal cincin ke?" Demikian reaksi Mawi apabila penulis bertanyakan perihal kisah cincin yang sehingga kini masih lagi menjadi misteri di kalangan peminat penyanyi ini. Dari riak wajahnya, Mawi seboleh mungkin cuba mengelak menjawab pertanyaan berbaur peribadi itu.
Tetapi, apabila dimaklumkan bahawa Ikin sudah menjelaskan perkara itu kepada media, Mawi mengalah juga akhirnya. Selepas mendiamkan diri buat seketika, Mawi kembali bersuara.
"Cincin ini memang hadiah Ikin. Dan ia adalah sebagai tanda persahabatan antara kami berdua," dedah Mawi selepas sekian lama cuba merahsiakan perkara itu.
Ditanya apakah pula hadiah balasan kepada Ikin, Mawi enggan mendedahkannya sebaliknya dia hanya mengatakan, "Adalah sesuatu... " sambil mengukir senyuman penuh bermakna. Bagaimanapun, Mawi tidak menafikan yang dia ada memberikan cenderamata sebagai kenangan buat Ikin setiap kali dia kembali dari luar negara.
"Masa saya di Syria hari itu, ada juga saya belikan dia tudung," cerita Mawi dalam nada yang ceria.
Diusik pertanyaan kononnya dia kini sedang sibuk membuat persiapan untuk menempuhi alam berumah tangga, Mawi menafikan kesahihan perkara itu.
"Belum, belum lagi. Tapi saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga bila-bila masa dari sekarang," jelas Mawi yang juga hanya menguntumkan senyuman apabila ditebak kononnya dia sudah pun menghadiri kursus perkahwinan sebagai persediaan untuk bergelar suami.
Sementara itu mengulas mengenai tindakannya bercuti ke luar negara di kala rakyat Malaysia sedang menjalankan tanggungjawab membuang undi, Mawi berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang disengajakan.
"Sebelum itu saya ingin meminta maaf atas apa yang berlaku. Sebenarnya bukan niat saya untuk tidak pergi mengundi. Tetapi semuanya berlaku kerana sudah pun dirancang lebih awal.
"Masa membuat rancangan, kami tidak tahu yang tarikh itu adalah hari mengundi. Bukan tidak mahu ubah tarikh tetapi ia membabitkan pertukaran jadual dan juga kos.
"Kami tidak mahu membebankan peminat dengan tambahan kos dan lagipun kami kesuntukan masa untuk mengubah tarikh.
"Pada mulanya memang saya sendiri sangka belum mendaftar sebagai pengundi. Tetapi apabila pembantu saya membuat semakan menerusi khidmat SMS, tertera nama saya sebagai pengundi dan lokasinya adalah di Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Kulai Johor.
"Kemudian, barulah saya teringat yang saya pernah menyerahkan kad pengenalan kepada arwah bapa saya suatu waktu dulu," ujar Mawi yang tetap berasa bersalah kerana tidak berpeluang menjalankan tanggungjawab itu.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


