Finalis ABPBH 2007 tawan Kota Keriangan
Oleh Zubir Mohd Yunus
SEBAIK tiba di puncak Genting kira-kira jam 12.45 tengah hari, minggu lalu, suasana ketika itu berkabus tebal dengan suhu kira-kira 16 darjah Celsius. Buat seketika, suria sesekali bersinar. Sekali gus ia mengembalikan semangat finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 - Zul Yahya, Diddy, Azwan Ali, Fouziah Gous dan Kenchana Dewi `menawan' Genting Highlands - Kota Keriangan!
Mereka kelihatan gembira dan asyik menghirup udara di atas puncak Genting. Sambil menikmati suasana segar dan menyamankan, lima finalis berkenaan saling usik mengusik sesama mereka dan nyata mereka begitu teruja dipertemukan untuk bersantai di taman tema yang terkenal di rantau Asia itu kerana sebelum ini masing-masing sentiasa sibuk dengan rutin tugas dan jadual seni yang padat.
Namun, sebelum mencuba pelbagai permainan menarik di taman berkenaan seperti Spinner, Roller Coaster, Double Carousel, menaiki teksi air, Bumper Car dan Space Shot (semuanya di Taman Tema Dalam dan Luar), kelima-lima mereka memberikan `pose cantik' di depan pintu D iaitu laluan utama VVVIP serta VVIP ke Arena of Stars, tempat berlangsungnya acara kemuncak ABPBH 2007 pada 30 Mac ini.
Terdahulu, Fouziah, Azwan, Kenchana, Diddy dan Zul Yahya, sempat menikmati makan tengah hari di Coffee Terrace di Hotel Genting yang menyediakan enam jenis hidangan iaitu pilihan tempatan, nyonya, masakan Cina, pilihan Barat, masakan Jepun dan pilihan Asia Barat. Restoran eksklusif ini dibuka 24 jam sehari.
Selepas mengabadikan kenangan dengan puluhan peminat yang menyedari kehadiran finalis ABPBH2007 di taman permainan itu, finalis berkenaan bergegas pula ke lokasi Flying Coaster - tarikan terbaru di Taman Teman Luar, di mana kos pembinaan dan penyelenggaraannya mencecah sehingga RM20 juta!
Sekalipun terpancar kepenatan di wajah masing-masing, namun bagi Fouziah, Azwan, Zul Yahya, Kenchana dan Diddy, tidak lengkap lawatan ke Kota Keriangan it sekiranya tidak menjejakkan kaki di Snow World yang terletak di Hotel First World.
Mereka akui tidak sabar untuk datang lagi ke Genting Highlands sempena ABPBH 2007 pada hujung bulan ini kerana pada masa itu mereka bukan lagi datang bersantai tetapi membawa misi bersaing untuk merebut kemenangan dalam kategori masing-masing. Acara itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 mulai jam 8.30 malam dan stesen HotFM.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


