Debaran menanti malam kemuncak
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
PENTAS Arena of Stars, Genting Highlands sekali lagi bakal `panas' dengan celoteh dan usikan manja Fauziah Ahmad Daud Ogy) dan Raja Azura (Kak Engku) yang berkongsi tugas sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.
Majlis berprestij itu akan berlangsung pada 30 Mac ini.
Seperti tahun lalu, penonton tentunya `pecah perut' menyaksikan telatah mereka dalam mengendalikan acara paling ditunggu-tunggu dalam kalender dunia hiburan tempatan.
Lebih menarik, Ogy dan Kak Engku bukan saja akan berkongsi celoteh dan jenaka, malah turut tersenarai sebagai finalis bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular.
ABPBH 2007 adalah edisi ke-21 penganjurannya. Tentunya sesuatu yang lebih hebat bakal dihidangkan untuk tontonan jutaan peminat oleh pihak penganjur, Berita Harian Sdn Bhd bersama tema Batik Glam.
Selain Ogy dan Kak Engku, acara malam kemuncak itu membariskan ramai penyanyi popular dalam segmen persembahan. Mereka adalah Amy Search, Anuar Zain, Atilia, Awie, Bob Lokman, Datuk Jalaluddin Hassan, Dynaz, Ella, Fasha Sandha, Fauziah Gous, Hattan, Heliza AF, Liza Hanim, Mawi, Meet Uncle Hussain, Ramli Sarip dan Datin Seri Siti Nurhaliza.
Penyampai trofi juga hebat-hebat iaitu AC Mizal, Afdlin Shauki, AG HotFM, Anne Ngasri, Awie, Datuk Yusni Hamid, Diana Danielle, Erra Fazira, Estranged, Fauziah Latiff, Hans Isaac, Iqram Dinzly, Isma Halil Hamzah, Leya HotFM, Nabil Raja Lawak, Ning Baizura, Noor Khiriah, Nora Danish, Noryn Aziz, Nurul, Rashidi Ishak, Rozita Che Wan, Sharifah Shahira, Syamsul Yusof, Zainal Din Zainal dan Zul Yahya.
Penerbit Eksekutif ABPBH 2007, Jennifer Thompson, berkata malam kemuncak ABPBH 2007 akan menampilkan sesuatu konsep berbeza dan istimewa berbanding tahun sebelumnya.
"Selain setiap artis akan digandingkan tak kira sama ada artis lama, baru atau popular, setiap segmen yang dipersembahkan juga mempunyai konsep yang berbeza.
"Masih mengekalkan Ramli MS sebagai pengarah muzik bersama 40 pemuzik orkestra yang bakal mengiringi setiap persembahan artis. Bagaimanapun, konsep dan segmen masih dalam perbincangan tapi apa yang dapat saya katakan, ia adalah sesuatu yang berlainan daripada yang sebelumnya. Jadi tunggu dan lihat saja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pra Kemuncak ABPBH 2007 di Grand Salon Lounge, Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Rabu lalu.
Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd yang juga Penaung ABPBH 2007, Datuk Manja Ismail; Pengarah Urusan Habib, Datuk Meer Habib; Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH 2007 yang juga Pengarang Hiburan, Hanizam Abdullah, Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah; Pengurus Kanan Penajaan Pemasaran NSTP, Wan Rafilin Wan Mohd Noor dan Pengurus Komunikasi & Perhubungan Awam Palace of the Golden Horses, Farah Halim.
Gandingan Ramli Sarip, Awie, Hattan, Ella
JENNIFER akui, pemilihan artis juga berdasarkan populariti yang mereka kecapi. Mengambil contoh, Meet Uncle Hussain walaupun album mereka belum berada di pasaran, tetapi lagu mereka sudah mengungguli carta radio dan dianggap mencetuskan fenomena baru dalam industri hiburan.
Difahamkan Ramli Sarip, Amy, Hattan, Awie dan Ella akan digandingkan dalam satu segmen sebagai tribute kepada penulis lirik terkenal, Allahyarham Loloq bagi mengenang jasa dan perjuangannya. Bagaimanapun, Jennifer menafikannya.
Akuinya, ia bukanlah segmen tribute untuk Allahyarham Loloq tetapi mereka merancang menampilkan suatu persembahan yang hebat daripada itu.
Sementara itu, Hattan berkata, dia difahamkan akan digandingkan bersama beberapa artis lain dalam satu persembahan tribute untuk Allahyarham Loloq, bagaimanapun semuanya masih dalam perbincangan.
"Saya terharu menerima undangan untuk persembahan tribute buat sahabat baik saya. Tentunya saya tidak akan melepaskan peluang ini kerana saya banyak berjasa dengan arwah kerana kebanyakan lirik lagu hits saya adalah hasil nukilannya. Kehilangan suatu yang cukup saya rasai hinggakan saya menangguhkan rakaman album terbaru," katanya.
Syamsul, Diana teruja jadi penyampai
ANAK bujang penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul Yusof pula bergandingan dengan buah hatinya, si jelita Diana Danielle sebagai penyampai trofi.
"Tentunya saya seronok kerana inilah pertama kali kami digandingkan bersama. Walaupun sekadar penyampai trofi, kami ucapkan terima kasih kepada Berita Harian yang sudi mengundang kami untuk memeriahkan malam kemuncak ABPBH 2007," kata pasangan sama cantik, sama padan itu.
Pelakon Iqram Dinzly pula bersyukur diberikan peluang sebagai penyampai trofi pada malam.
"Ia adalah satu pengiktirafan buat pelakon baru seperti saya. Tentunya ramai artis yang ingin menjadi penyampai trofi dalam majlis berprestij yang menjadi jutaan penonton. Saya bertuah sebab tersenarai. Paling penting, saya bersyukur kewujudan saya dalam mewarnai pentas dunia lakonan disedari. Terima kasih kepada Berita Harian yang membuka lebih ruang kepada saya untuk bertapak," katanya.
Anuar Zain pula memilih untuk menyampaikan lagu popularnya, Ketulusan Hati dalam persembahannya pada malam itu.
Jika pada ABPBH 20 03, dirinya berduet dengan Dayang Nurfaizah menerusi lagu Dia, namun kali ini, adik Ziana Zain itu memilih untuk bersendirian.
"Tiada apa kelainan yang akan ditonjolkan kerana saya tidak suka pada gimik. Saya lebih selesa menumpukan perhatian pada vokal dan persembahan yang santai. Saya juga mengeluark an bajet sendiri untuk pakaian pada malam itu kerana ingin menjadikannya sebagai koleksi. Tentunya pilihan saya adalah sut dengan elemen batik," katanya.
Ella nyanyi lagu tribute buat Loloq
ELLA pula tidak pasti dengan lagu yang akan didendangkan, bagaimanapun diberitahu akan bergandingan dengan beberapa penyanyi popular sebagai tribute kepada arwah Loloq.
"Saya terima dengan hati yang terbuka apatah lagi jika tribute buat arwah Loloq. Boleh dikatakan arwah menyumbangkan lirik dalam semua album saya dari pertama hinggalah saat beliau menghembuskan nafas terakhir. Saya mengenalinya sejak mula bergelar penyanyi.
"Beliau adalah insan yang pandai bermain kata-kata dan setiap patah perkataan dalam lirik yang dihasilkan begitu mendalam. Saya dan arwah umpama adik dan abang. Saya tentunya akan memilih menyampaikan sebuah lagunya yang saya kenang hingga hari ini," katanya.
Pada majlis itu, penganjur turut mengumumkan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Gemilang Bersama Bintang siri pertama hingga keempat. Empat pemenang utama siri Peraduan Gemilang Bersama Bintang menerima barang kemas Habib Jewels bernilai RM5,000, pakej percutian lima hari empat malam untuk dua orang ke Bali menerusi tajaan POTO Travel dan berpeluang berjalan di karpet merah bersama artis popular.
Bagi pemenang kedua siri satu hingga tiga, mereka akan membawa pulang perakam video cakera keras tajaan JVC Sales & Service bernilai RM1,99 9 setiap seorang dan dua tiket VIP ke malam ABPBH 2007. Pemenang kedua siri empat pula menerima pemain sistem teater DVD tajaan JVC bernilan RM1,79 9 serta dua tiket VIP. Hadiah ke tiga untuk empat siri ini pula menerima produk L'Oreal bernilai RM300 setiap seorang dan dua tiket VIP.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


