Jelajah ABPBH07 gamat
Oleh Suzan Ahmad
JOHOR BAHRU: Biar terpaksa menukar lokasi pada saat akhir, Johor Bahru destinasi ke-5 (selepas Kota Bharu, Terengganu, Melaka dan Kuantan) jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07) edisi ke-21 tetap meriah dan gamat.
Ruang legar pusat beli-belah terkenal, Plaza Kotaraya dipadatkan dengan lebih 3,000 peminat yang tidak mahu melepaskan peluang mendekati finalis ABPBH07 yang bakal mengetahui nasib mereka dalam kategori masing-masing di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, 30 Mac ini.
Kemunculan artis popular seperti Mawi, Anuar Zain, Sofaz, Kristal, Diddy, Farah Asyikin, Linda Onn dan Fahrin Ahmad tidak menghampakan penantian pengunjung yang tidak berganjak dan sudah mula memenuhi ruang legar Plaza Kotaraya seawal jam 12 tengah hari sehingga persembahan berakhir sekitar jam 7 malam.
Tirai persembahan dibuka artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Diddy dengan lagu Hilang, Lena dan duet Sedang Ingin Bercinta bersama Farah Asyikin dan Ameer Sofaz.
Ini diikuti Raja Azura dan Anuar Zain yang memukau pengunjung dengan Hati terkunci, Bahaya, Ketulusan Hati, Bunga Cintaku dan Lelaki Ini. Farah Asyikin dengan lagu Tak Ada Logika dan Seribu Penipuan manakala Sofaz dengan Bukan Di Sini, Kepantasannku dan Janjiku.
Bagaimanapun, Raja SMS, Mawi tetap mencuri tumpuan pengunjung terutama kalangan kanak-kanak menghiburkan mereka dengan rangkaian lagu Cinta Zulaikha dan Kian. Kristal pula membawakan lagu Impian, Insan dan SMS.
Penganjur ABPBH07 tidak melupakan pembaca dan pengunjung setianya apabila acara diselang seli dengan kuiz bersama penonton yang memberi peluang membawa pulang hadiah istimewa tajaan penaja utama ABPBH07 Habib Jewels dan barangan eksklusif Berita Harian.
Lebih menarik lagi, penonton yang sporting dan rela `didera' artis popular berpeluang untuk bersiar-siar sekitar bandar Johor Bahru bersama artis kegemaran mereka menaiki kereta berjenama terkemuka Peugeot.
Terus meriah, pengunjung juga digeletek dengan gelagat pengacara sensasi lagi popular yang juga calon kategori Pengacara Lelaki dan Wanita Popular, Aznil Nawawi dan Raja Azura.
Penyampai dari radio rasmi ABPBH07 HotFM seperti Ikhwan, Anne dan Tini juga turun padang memberi sokongan padu kepada acara paling ditunggu-tunggu ini.
Hadir sama pada siri promosi di selatan sebelum jelajah promosi bergerak ke Pasir Gudang (22 Mac) minggu depan, Pengerusi Penganjur ABPBH07 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Pengurus Kanan Pemasaran dan Penajaan NSTP, Wan Rafilin Wan Mohd Noor.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


