Oleh Farihad Shalla Mahmud; Zaidi Mohamad
DUA tahun lalu, acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)
pernah dinobatkan sebagai rancangan hiburan terbaik dalam Anugerah Skrin.
Dan tahun lalu pula, acara anugerah penuh berprestij ini berjaya meraih
rating tertinggi program hiburan iaitu 4.4 juta penonton menyaksikan
acara yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3.
Dua pengiktirafan ini sudah cukup membuktikan ABPBH mempunyai pengaruh
yang cukup besar di kalangan peminat acara hiburan. Justeru, tidak
hairanlah andai ABPBH menjadi acara yang ditunggu-tunggu, selain acara
serupa yang lain. Bukan saja keputusannya yang memberikan debaran kepada
penonton dan artis yang bertanding, malah apa yang menjadi buah mulut
adalah siapakah yang bakal membuat persembahan pada malam itu.
Tidak dinafikan, saban tahun ada saja pertanyaan daripada sebilangan
artis terutama penyanyi merisik khabar apakah ada peluang untuk mereka
menonjolkan bakat di pentas ABPBH. Malah, bagi pelakon pula mereka turut
meninjau peluang untuk tampil sebagai penyampai trofi dengan harapan
sedikit sebanyak terkena tempias popular.
Bagi mereka yang kreatif, ruang yang diberi itu akan digunakan
sebaiknya untuk mempromosikan filem atau album baru, selain menjalankan
tugas utama mereka. Begitulah hebatnya kuasa yang dimiliki ABPBH.
Namun, untuk melepasi senarai mereka yang layak membuat persembahan di
pentas itu bukanlah semudah yang disangka. Paling utama artis yang
dipilih mestilah popular sejajar dengan objektif penganjuran acara ini.
Dan aspek ini juga yang ditekankan Penerbit Eksekutif ABPBH, Jennifer
Thompson.
"Untuk membuat persembahan di ABPBH, perkara utama yang kami titik
beratkan adalah artis itu mestilah popular kerana itulah yang ingin
dilihat peminat. Adalah menjadi tanggungjawab kami setiap tahun ABPBH
cuba untuk menyajikan hiburan yang terbaik buat penonton.
"Dan untuk tahun ini, kami akan memberikan sedikit kelainan dari segi
persembahan apabila kami meminta pelakon pula untuk menyanyi di atas
pentas. Kita akan dapat saksikan penampilan istimewa Datuk Jalaluddin
Hassan bersama tiga pelakon terkenal, Fasha Sandha, Dynas dan Fouziah
Gous.
Bukan selalu kita dapat saksikan persembahan seperti ini dan inilah
antara yang bakal menjadi daya tarikan penonton malam itu," ujar Jennifer
ketika ditemui pada majlis pengumuman pengacara, artis yang membuat
persembahan serta penyampai trofi ABPBH 2007 di Palace Of The Golden
Horses, Seri Kembangan, kelmarin.
Turut hadir pada majlis itu Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd
(BHSB), Datuk Manja Ismail; Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd, Datuk
Meer Sadik Habib; Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH 2007, Hanizam
Abdullah; Penolong Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Habib Jewels,
Yasheeda Yashaiya serta Pengurus Program Hot FM, Anida Mohd Taharim.
Penyampai Hot FM, Faizal dan Fara Fauzana bertindak sebagai pengacara majlis petang itu.
Nyata, apa yang dikata Jennifer bukanlah sekadar `propa' semata-mata.
Melihat barisan artis yang terpilih untuk membuat persembahan tidak dinafikan ia menepati apa yang diperlukan dalam sesebuah acara berskala besar. Gabungan wajah baru dan lama, kepelbagaian genre muzik serta membariskan hanya yang popular menjadi inti pati konsep persembahan yang bakal dipimpin komposer terkenal, Ramli MS.
"Harus diingat, ABPBH bukanlah medan untuk artis mempromosikan lagu mereka. Setiap konsep persembahan seseorang artis itu akan ditentukan oleh pihak penganjur. Kami tidak mahu ada persembahan syok sendiri. Dan seperti apa yang ditegaskan tadi, popular adalah teras utama kami," tegas Jennifer yang buat pertama kalinya ada malam itu, penonton akan dapat menyaksikan persembahan nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air.
Antaranya pemenang dua tahun berturut-turut Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH, Mawi, penghibur tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Anuar Zain, Awie, Ramli Sarip, Hattan, Ella, Liza Hanim, Meet Uncle Hussein, Bob dan Atilia.
Turut diumumkan Jennifer pada majlis itu adalah mereka yang terbabit untuk menyampaikan trofi kepada pemenang. Seperti mana artis yang membuat persembahan, kombinasi wajah baru dan lama juga terserlah dalam kategori ini. Mereka yang dimaksudkan adalah AC Mizal, Afdlin Shauki, AG (AG Hot FM), Anne Ngasri, Awie, Datuk Yusni Hamid, Diana Danielle, Erra Fazira, Estranged, Fauziah Latiff, Hans Isaac, Iqram Dinzly, Isma Halil Hamzah, Leya, Nabil Raja Lawak, Ning Baizura, Noorkhiriah, Nurul, Nora Danish, Noryn Aziz, Rashidi Ishak, Rozita Che Wan, Sharifah Shahira, Syamsul Yusof, Zainal Din Zainal dan Zul Yahya.
Kecemerlangan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy dan Raja Azura mengendalikan acara ini tahun lalu menjadikan mereka sekali lagi dipilih sebagai pengacara malam kemuncak. Pastinya pemilihan itu adalah satu keputusan yang tepat kerana gandingan Ogy dan Kak Engku mampu membuatkan penonton pecah perut dengan aksi lucu mereka yang luar biasa.
Boleh nyanyi tapi Kak Ida pemalu sikit
NAMPAKNYA satu demi satu anak Pakcik Tarudin Ismail menceburkan diri dalam bidang seni. Bermula dengan Saiful Bahari atau Ayie, diikuti Datuk Siti Nurhaliza kemudian dituruti jejaknya oleh Siti Nursaerah, kini giliran Siti Nursaida (gambar) pula mencuba nasib menjadi penyanyi.
Percubaan kakak kepada penyanyi tersohor itu menyertai sesi uji bakat AF6 Januari lalu nyata tidak sia-sia apabila dia tersenarai sebagai 25 calon awal yang bakal menyertai akademi larangan itu.
Biarpun ramai yang terkejut kerana tidak pernah melihat kelibat Siti Nursaida atau Saida menyanyi di mana-mana acara sebelum ini, namun bagi Siti, berita itu bukanlah sesuatu yang asing baginya. Jelas Siti, apabila mendapat tahu yang Saida berjaya melayakkan diri sebagai calon finalis, dia adalah antara insan yang cukup gembira mendengar perkhabaran itu."
Mungkin ramai yang tak tahu Kak Ida ini sebenarnya memang boleh menyanyi cuma dia pemalu sedikit. Tapi Siti tahu dia boleh buat. Apabila dia beritahu terpilih sebagai calon pelajar AF6, Siti awal-awal lagi ucap tahniah kepadanya," ujar Siti ketika ditemui pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, kelmarin.
Menceritakan kembali bagaimana kakaknya boleh terjebak dengan program realiti popular itu, Siti berkata, penyertaan kakaknya itu berlaku secara kebetulan dan tidak terancang.
"Tujuan dia sebenarnya adalah untuk menemani Saerah yang hendak menyertai uji bakat. Tapi apabila mendapati angka giliran Saerah agak lewat dan mungkin membawa ke malam, hendak tak hendak dia pun mencuba sekali. Iyalah, takkan hendak tunggu seorang diri di luar. Tak sangka pula dia yang terpilih dan bukannya Saerah.
"Apa pun, Siti mengharapkan agar dia berjaya melepasi ujian penilaian sekali gus menjadi calon pelajar AF6. Siti tetap akan memberikan sokongan moral buatnya," ujar si pelantun Ku Mahu ini sambil tertawa.
Biarpun mungkin ada yang beranggapan kejayaan Saida itu sebenarnya adalah kerana dia kakak kepada penyanyi terkenal tanah air, Siti menafikan perkara itu.
"Saya tak rasa itu adalah alasannya. Saya tahu dia juga berbakat besar dalam bidang nyanyian. Malah, sewaktu di sekolah dulu dia yang terlebih dulu menyertai pertandingan nyanyian kemudian barulah saya menyusul.
"Malah, dia juga sering menyumbangkan suaranya untuk acara-acara besar di kampung seperti persembahan Hari Kemerdekaan dan sebagainya. Dan dia jugalah yang akan menggantikan tempat Siti untuk menyanyi sekiranya Siti tidak dapat memenuhi sesuatu undangan itu," imbas Siti lagi.
Sementara Saida dikurung bagi menjalani sesi orientasi seperti yang ditetapkan Astro, Siti menjalankan tanggungjawab menjadi ibu kepada empat anak saudaranya itu.
"Sekarang ni kan cuti sekolah. Jadi Siti ambillah anak Kak Ida yang empat orang itu untuk tinggal dengan Siti. Mereka tak kisah sebab sudah biasa. Dan mereka juga tahu emak mereka di mana.
"Contohnya, kalau kita tanya mak mereka pergi mana, dia orang akan jawab, Mak kita pergi menyanyi," cerita Siti dengan hilai tawa.
Ditanya apakah kakaknya itu sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cerita negatif apabila memilih untuk menyertai AF, Siti berkata, pengalaman yang dilaluinya barangkali menjadi pedoman buat Saida mengharungi bidang ini.
"Pengalaman Siti sepanjang bergelar artis barangkali mungkin boleh membantunya berdepan dengan situasi itu. Walaupun tidak mengalaminya sendiri tapi dari apa yang dilihat, didengar, saya yakin dia boleh mengatasinya. Lagi pun suaminya memberi sokongan terhadap keputusannya itu," kata Siti sambil membetulkan tudungnya.
Diusik pertanyaan apakah dia akan menubuhkan kelab peminat untuk kakaknya, sambil tersenyum Siti berkata, dia difahamkan kelab peminat itu sudah pun ditubuhkan tetapi atas usaha orang lain. Mengenai pendiriannya jika dia diberi peluang menjadi pengkritik undangan, Siti berkata, dia tetap profesional dalam menjalankan tugas. "Nak buat macam mana lagi, kritik ajelah," ujarnya disambut dengan gelak ketawa media di sekeliling.
Corat-coret
Hantar kepada kawan Format pencetak


