Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Liza Hanim kembali panaskan pentas ABPBH dengan rekaan Calvin Thoo pada 30 Mac ini
SELEPAS sekian lama, penyanyi Liza Hanim akan kembali mempersembahkan kehebatan nyanyiannya di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 apabila si pemilik suara gemersik ini mengalunkan irama indah, Merawat Luka, di Arena of Stars, Genting Highlands, pada 30 Mac ini.
Liza sendiri menyatakan kerinduannya untuk sama-sama memeriahkan acara persembahan pada anugerah cukup berprestij itu setelah kali terakhir melakukannya pada ABPBH 2001.
Di puncak Genting yang nyaman itu nanti, ibu kepada seorang anak ini bakal membuai perasaan calon ABPBH 2007, tetamu kehormat serta kira-kira 6,000 peminat yang dijangka memenuhi setiap ruang arena berkenaan serta penonton TV3 dengan lagu merdu ciptaan sepenuhnya Azmeer, Merawat Luka..
Lagu berkenaan yang dipetik daripada album solo terbarunya, Imagin, ialah irama yang menjadi pujaan ramai setelah ia menghiasi drama bersiri siaran TV3, Natasha, lakonan bintang muda, Fasha Sandha, Ezany Nizariff dan Fiza.
"Sudah tentu saya berasa cukup teruja untuk kembali ke pentas persembahan ABPBH setelah sekian lama tidak berbuat demikian. Begitupun, sudah beberapa kali juga saya diberi peluang menaiki pentasnya sebagai penyampai anugerah. Jadi, Liza Hanim bukanlah nama yang agak asing dalam sejarah penganjuran ABPBH," katanya ketika ditemui pada sesi suai padan rekaan pakaian yang bakal dikenakan penyanyi ini pada acara terbabit, di butik Calvin Thoo, Bukit Bintang.
Sesuai dengan tema batik yang diperkenalkan ABPBH edisi ke-21 ini, Liza akan mengenakan rekaan Calvin, menggunakan batik yang direka khas oleh pereka batik muda, Muhammad Sahiman Salleh dari D’Mas Batek Gallery, Shah Alam.
Petang itu, Liza turut mencuba hiasan indah Habib berupa rantai panjang yang diubah suai menjadi kerongsang, rantai berlian berinspirasikan flora dan fauna serta dua bentuk cincin berbentuk bunga liar yang masing-masing berharga RM21,000 dan RM8,000.
Turut dicuba penyanyi berbakat besar ini ialah subang berjuntai JLo daripada koleksi Aura Habib yang bertatahkan berlian putih bernilai RM21,000 serta rantai tangan Empress berbentuk marquisse empat deret bernilai RM178,000.
Habib Jewels Sdn Bhd ialah penaja utama ABPBH 2007 yang menyaksikan 16 kategori dipertandingkan, untuk penyanyi, pelakon, pengacara TV dan penyampai radio.
Menyambung cerita persembahannya di Arena of Stars nanti, Liza memberitahu, perincian corak persembahan itu belum dapat dikongsinya bersama peminat kerana dia kini masih lagi dalam mencari konsep terbaik demi kepuasan semua pihak.
"Insya-Allah, dalam minggu ini, saya akan dapat mendengar gubahan yang dibuat ke atas lagu terbabit sebelum latihan dapat dimulakan," katanya yang kini cukup popular di radio dengan lagu Lara, petikan album yang diterbitkan sendiri olehnya menerusi syarikat LH Media.
Rancang showcase khas untuk peminat
MENGENAI perancangan terbaru, Liza berkata, dia dan pihak pengurusannya kini pada peringkat akhir perbincangan untuk mengadakan sebuah showcase khas buat peminat dan rakan media yang sekian lama memberikan sokongan tanpa henti terhadap karier seninya.
Pertunjukan istimewa selama 45 minit itu dijadualkan pada 5 April depan, bertempat di Planet Hollywood Kuala Lumpur.
"Kami menamakan showcase terbabit sebagai ‘Terima Kasih’ bersesuaian dengan hasrat saya untuk menyampaikan penghargaan dan tanda terima kasih saya buat peminat dan pihak media yang banyak membantu kerjaya saya selama sedekad. Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah 10 tahun Liza Hanim bertapak dalam industri hiburan negara," katanya.
Katanya juga, biarlah persembahan itu dibuat dalam skala kecil-kecilan, daripada langsung tidak ada apa-apa. Paling tidak, ujarnya, suasana penuh kemesraan itu nanti bakal meninggalkan memori yang cukup berharga buat dirinya serta mereka yang hadir pada hari berkenaan.
Liza juga kini kian bersemangat untuk mempromosikan album Imagin, apatah lagi selepas Lara mendapat sambutan cukup baik daripada peminat. Ingin mendekati seluruh peminatnya, di kota mahupun desa, Liza berkata, kemunculan di stesen radio dan televisyen ialah antara jalan terbaik untuknya memberitahu orang ramai, dia masih aktif menyanyi dan tidak pernah berundur daripada dunia yang memang menjadi kesukaannya.
Baru-baru ini, Liza turut dibisikkan dengan khabar cukup membanggakan apabila dirinya dan Sean Ghazi bersaing sesama sendiri setelah kedua-duanya dicalonkan ke peringkat akhir kategori Pelakon Terbaik, Anugerah Seni Cameronian Boh 2007 pada 11 Mei ini hasil lakonan mantap mereka sebagai Saloma dan P Ramlee dalam teater P Ramlee The Musical, yang dipentaskan di Istana Budaya, Oktober tahun lalu.
Rekaan moden, klasik untuk Liza
JIKA nama pereka Calvin Thoo mungkin sudah cukup dikenali di kalangan penggiat seni dan fesyen tanah air, nama Muhammad Sahiman Salleh pula cukup baru pada pendengaran kita.
Namun, pereka batik muda yang mempunyai galeri batiknya sendiri di Kompleks PKNS Shah Alam ini nyata memiliki bakat yang terserlah apabila bercerita mengenai corak batik yang dihasilkan. Pada ABPBH 2007, Calvin memilih untuk bekerjasama dengan anak muda ini bagi menghasilkan rekaan paling menarik untuk Liza Hanim melintasi permaidani merah, seterusnya beraksi di pentas.
"Batik saya mungkin agak berlainan daripada corak yang biasa kita semua sering perhatikan. Saya lebih suka bermain dengan konsep moden dan klasik untuk rekaan batik saya. Umpamanya, pada musim 2008, saya banyak mengetengahkan corak batu untuk menghasilkan rekaan yang ada kelainan," kata jejaka ini, yang meneruskan tradisi perusahaan batik yang dimulakan oleh orang tuanya.
FAKTA: Calvin Thoo
Hantar kepada kawan Format pencetak


