'Biarlah apa orang nak kata'
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Kontroversi ajar Azwan Ali agar berhati-hati ketika berkata-kata
SEAKAN sukar untuk mempercayai bahawa si pengacara Azwan Ali tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi. Iyalah, bagaimana mahu menerima perkhabaran itu sedangkan antara Azwan dan kontroversi memang sinonim serta bagai isi dengan kuku.
Malah, setiap tahun ada saja cerita panas yang membabitkan pengacara seorang ini. Terbaru, kecoh isu perselisihan fahamnya dengan dramatis, Sheila Rusly dan tiga wartawan hiburan dari akhbar arus perdana sehingga melarat-larat untuk jadi kes saman menyaman.
Namun, sama ada mahu percaya atau tidak, itulah janji yang diucapkan Azwan di kala sambutan majlis ulang tahun kelahirannya di Polo Club, Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, baru-baru ini. Tegas pengacara dan penerbit program Cit Cat ini, seiring dengan pertambahan usianya,
“Biarlah apa orang hendak kata mengenai diri saya selepas ini. Cukuplah dengan apa yang saya lalui dan terus terang saya sudah malas hendak layan atau ambil peduli benda remeh seperti ini. Lebih baik saya berdiam diri dan tumpukan perhatian pada kerja saya,” luah Azwan bersungguh-sungguh pada wartawan di sekelilingnya.
Sambil menyifatkan kontroversi yang dilaluinya itu hampir saja memusnahkan kerjayanya, Azwan berkata peristiwa itu turut membawa perubahan besar dalam kehidupannya untuk masa akan datang.
"Apa yang saya lakukan itu hanyalah sekadar untuk mempertahankan diri dari terus menjadi mangsa. Namun tak dinafikan, kejadian itu juga banyak memberi pengajaran supaya lebih berhati-hati dalam berkata-kata,” ujar Azwan yang turut bertekad untuk meninggalkan tabiat mulut lasernya.
Dan siapa sangka ketika usia lelaki ini menginjak angka 42, datang seruan yang mengajaknya untuk berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah.
"Sejak empat tahun lalu saya berhasrat menunaikan umrah namun kerana kesibukan, beberapa kali pemergian terpaksa ditangguh. Mungkin kerana selalu melengah-lengahkan benda baik, satu-persatu ujian datang menimpa saya.
"Justeru, tahun ini saya mesti melaksanakan hajat itu dan Insya-Allah jika diizinkan Yang Maha Esa, saya mahu menjalani ibadat ini pada Ramadan tahun ini,” jelasnya mencurahkan hajat di hati.
Lebih mengejutkan, Azwan turut mengeluarkan kenyataan yang dia kini bersedia menjadi bapa apabila bakal mengambil anak angkat tidak lama lagi.
“Ini juga adalah hadiah hari jadi paling bermakna buat diri saya. Saya mendapat bayi lelaki. Kalau ikutkan, saya teringin ambil anak angkat perempuan tetapi atas faktor muhrim, ramai orang termasuk ustaz menasihatkan saya bayi lelaki lebih afdal kerana apabila besar nanti dia boleh menguruskan jenazah saya.
"Kehadiran bayi itu mungkin akan melatih saya menjadi manusia lebih bertanggungjawab selain persediaan untuk saya melangkah ke alam perkahwinan. Saya tidak kata saya terdesak untuk berkahwin tetapi saya ada niat untuk mengakhiri zaman bujang," katanya serius.
Antara artis popular yang turut hadir memeriahkan majlis ulang tahun Azwan termasuklah Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, Ifa Raziah, Linda Onn, Fahrin Ahmad, Syafinaz, Dina, Farah AF2, Mila, Fouziah Gous, Hani, Avaa Vanja, Julie Dahlan, Norman Hakim, Fazli Zainal dan Zahida Rafik.
Tak harapkan kemenangan
KETIKA namanya diumumkan sebagai calon Top 5 kategori Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 07), Azwan akui pengumuman itu amat mengejutkannya.
“Memang tak sangka sebab maklum sajalah saya baru saja terbabit dengan kontroversi sehingga nama saya digam. Jadi apabila diumumkan sebagai finalis, saya bersyukur teramat sangat kerana perkara ini sekurang-kurangnya membuka mata banyak pihak bahawa peminat masih menyokong saya biar apapun yang berlaku,” tegas Azwan lagi.
Biarpun sekadar bergelar finalis, namun Azwan tetap menganggap pencalonan itu sebagai sesuatu yang tidak ternilai buatnya dan ia perlu diraikan.
“Saya anggap pencalonan itu sebagai rezeki dari Tuhan. Justeru apabila mendapat tahu yang nama saya sangkut sebagai finalis ABPBH 07, terus terlintas di ingatan saya untuk meraikannya bersama anak yatim. Saya buat majlis itu dua dalam satu sekali gus dengan sambutan hari lahir saya,” katanya yang meraikan acara penuh bermakna itu di Pertubuhan Anak Anak Yatim Darul Aminan, Ampangan Seremban baru-baru ini.
Ditanya bagaimanakah peluangnya tahun ini, Azwan enggan meletakkan harapan yang tinggi kerana persaingan kali ini memang sengit.
“Sebelum ini saya pernah dicalonkan dan terus terang, waktu itu saya memang mengharapkan kemenangan. Dan apabila saya gagal, tidak dinafikan memang kecewa sangat. Justeru, kali ini saya mahu menghadiri acara ABPBH tanpa ada perasaan untuk menang. Saya mahu pergi ke sana dalam keadaan enjoy,” tutur Azwan yang turut mendapat tawaran untuk mengendalikan sebuah rancangan di RTM.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


