Pentas ABP serlah bakat menyanyi
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Datuk Jalaludin Hassan akui gementar beraksi depan penonton
DI KALA ini, hati Datuk Jalaludin Hassan yang berada dalam senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007) bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, sedang berdebar-debar.
Berdebar bukan kerana memikirkan apakah dia mampu merampas kembali trofi yang pernah dipertahankan selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1995, 1996 dan 1997. Sebaliknya, debaran itu berlaku kerana berasa was-was sama ada beliau mampu menghiburkan penonton secara langsung di Arena Of Stars, Genting Highlands dan penonton di rumah pada 30 Mac ini.
ABPBH sentiasa tampil dengan kelainan. Jika sebelum ini, peminat hanya dapat melihat aktor yang mesra disapa Abang Jalal ini beraksi di layar kaca dan sesekali ke layar perak, acara kemuncak yang bakal berlangsung beberapa minggu saja lagi ini akan memperlihatkan kehebatan Abang Jalal menyanyi.
Bakat dimiliki Abang Jalal bukan setakat dalam bidang lakonan, malah ramai sudah mengetahui pelakon berusia 54 tahun itu memiliki bakat menyanyi. Beliau pernah menyanyi di khalayak ramai seperti di Istana Budaya selepas tragedi tsunami, pernah juga menghiburkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan lagu My Way yang menjadi salah satu lagu kegemaran mantan perdana menteri itu ketika majlis perpisahan beliau.
Abang Jalal juga beruntung kerana dia pernah berduet dengan penyanyi wanita yang bukan calang-calang namanya dalam dunia seni suara iaitu penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Tetapi katanya, ABPBH 2007 berbeza kerana dia perlu menyanyi secara langsung dan disaksikan jutaan penonton.
“Memang saya berpengalaman menyanyi di khalayak ramai, tetapi kali ini lebih mendebarkan kerana saya bakal beraksi di dalam sebuah program yang dipancarkan secara langsung di kaca televisyen yang dapat disaksikan jutaan penonton. Siapa yang tidak gementar?
“Nampaknya saya perlu memulakan aktiviti berjoging untuk menambahkan stamina supaya dapat memberikan persembahan yang baik,” katanya yang bakal menggayakan tuksedo daripada Lord’s Tailor.
Pertama kali bertemu dengannya, ternyata pelakon disegani ini seorang yang cukup mudah didekati dan mudah mesra. Nama besar dimiliki tidak mengalpakan pelakon itu atau membuatkan dia berasa angkuh dengan kemasyhuran yang dimiliki. Sebaliknya, dia seorang yang gembar berbual dan banyak kisah hidupnya yang menarik dikongsi kepada Hip, antaranya bakat menyanyi yang dimiliki.
Kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi ada kebenarannya kerana bakat itu dimiliki kedua-dua orang tuanya yang pernah menubuhkan kumpulan nasyid. Dia juga pernah menyertai kumpulan nasyid yang ditubuhkan bapanya sekitar tahun 70-an iaitu Al Hilal. Sementara ibunya pula berkebolehan bermain piano.
Namun entah kenapa, minatnya terhadap bidang nyanyian tidak mendalam. Sebaliknya, Abang Jalal lebih fokus kepada lakonan malah sering mencari kelemahannya dalam bidang lakonan tetapi tidak kepada nyanyian. Minatnya terhadap lakonan mula berputik apabila dia bersama rakannya didenda dengan melakonkan kisah Julius Caesar karya William Shakespeare di dalam bahasa Inggeris klasik kerana berbuat bising.
Abang Jalal adalah satu-satunya pelajar yang berjaya menghafal keseluruhan dialog dan arwah isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid iaitu Allahyarham Datin Yasmin Abdullah yang ketika itu guru bahasa Inggerisnya seakan-akan nampak potensi dimiliki pelakon itu dan berkata dia bakal menjadi seorang pelakon yang baik satu hari nanti.
Ternyata kata-kata itu menjadi kenyataan dan lihatlah di mana dia berdiri sekarang. Karier Abang Jalal dalam dunia lakonan bermula lewat 80-an setelah dia menyertai uji bakat yang dianjurkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Ketika era itu, RTM mengadakan uji bakat secara besar-besaran. Zaman dulu, uji bakatnya berbeza. Di depan kami diletakkan tiga ke empat kamera dan setiap kumpulan siap dengan penerbit seakan-akan sebuah penggambaran sebenar. Salah seorang penerbit ketika itu iaitu Zainal Abidin Ibrahim merungut suara saya tidak kedengaran.
“Jadi di fikiran saya cukup yakin akan gagal sesi uji bakat itu. Tapi saya tak sangka, dua minggu selepas itu saya diundang untuk berlakon dalam sitkom yang cukup popular ketika itu Santan Berlada sebagai pelakon undangan.
“Ia cukup mengejutkan saya kerana pada pemikiran, saya hanya akan diberikan watak tambahan saja,” katanya yang terharu ada pihak yang sudi menaja pakaiannya untuk ke ABPBH nanti meskipun umur sudah mencecah setengah abad.
Kata Abang Jalal, inilah kali pertama pakaiannya ditaja ke majlis anugerah. Dia tidak menyangka, masih ada pihak yang sudi menajanya kerana menyangka tentu artis yang lebih muda, segak dan masih lagi bergaya menjadi pilihan berbanding dirinya.
Pelakon yang dicalonkan semula setelah dua tahun namanya tidak berada di dalam senarai berkata, dia tidak menyandarkan sebarang harapan untuk merampas kembali takhta yang pernah menjadi miliknya. Menang mahu pun kalah, dia harus bekerja keras untuk meningkatkan mutu lakonannya.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


