Oleh Zul Husni Abdul Hamid
POTO Travel & Tours tawar pakej istimewa untuk pembaca Berita Harian
PERCUTIAN eksklusif di Bali, Indonesia bersama pemenang terpilih Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 adalah antara hadiah menarik menanti pembaca bertuah Berita Harian menerusi peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB).
Menekankan kepada suasana santai dengan atur cara yang fleksibel, percutian yang ditaja POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) itu juga bertujuan menjalin silaturahim antara artis dan peminat.
Ketua Pegawai Eksekutif POTO, Ab Rahman Mohd Ali berkata, sebagai syarikat pelancongan Bumiputera berpengalaman, mereka menjanjikan perkhidmatan profesional, dedikasi dan bertanggungjawab untuk keselesaan pelanggan yang mengikuti pakej percutian bersama.
Katanya lagi, mereka juga menekankan kepada perkhidmatan yang selesa, selamat dan tanpa was-was yang menjadi motto kepada syarikat yang diterajui individu berpengalaman selama lebih 22 tahun dalam industri pelancongan.
“Syarikat kami dibarisi oleh kakitangan yang berpengalaman antara lapan hingga 20 tahun selain menjalankan tanggungjawab penuh dedikasi dan profesional justeru memberi keselesaan kepada pelanggan di setiap destinasi pilihan.
“Dengan pengalaman luas kakitangan kami di setiap destinasi, ini semua dapat membantu pelanggan untuk lebih memahami keistimewaan lokasi percutian pilihan mereka,” katanya.
Selain pakej istimewa, mereka juga antara syarikat pelancongan pertama di negara ini yang menawarkan potongan menarik kepada warga emas berusia 55 tahun ke atas dengan memberikan diskaun sehingga RM240 seorang.
Dengan harga kompetitif ditawarkan dalam setiap pakej yang diiklankan, POTO katanya, sentiasa bersikap telus kepada pelanggan kerana tidak mahu mereka tertipu apabila memilih untuk bersama syarikat pelancongan itu ketika bercuti.
“Kami menyediakan pakej lengkap tanpa caj tambahan atau harga terselindung kerana tidak mahu pelanggan tertipu dan marah disebabkan tidak dimaklumkan terlebih dulu mengenai bayaran tambahan lain.
“Kami juga membawa pelanggan hanya di destinasi terpilih dan terbaik selepas membuat perancangan teliti kerana ingin semua pihak berpuas hati,” katanya.
Mengenai pakej percutian GBB di Bali, syarikat yang berpengalaman mengendalikan percutian artis dengan peminat seperti bersama Erra Fazira di Perth, Australia; Fasha Sandha ke Bali dan terbaru meraikan pemenang ABPBH 2006 di Bandung, Puncak dan Jakarta, Ab Rahman berkata, banyak aktiviti menarik menanti mereka yang bertuah.
Pakej 5 hari 3 malam yang dijadualkan berlangsung Disember ini menyediakan atur cara yang fleksibel di mana ahli rombongan diberi keutamaan untuk ke destinasi pilihan mengikut kesesuaian waktu.
“Tetamu akan dibawa makan malam ditemani cahaya lilin dalam suasana tenang di tepi pantai eksklusif untuk menaikkan mood kerana kami ingin mengeratkan jalinan silaturahim antara artis dan peminat, bersesuaian dengan objektif penganjuran ABPBH 2007.
“Ia disusuli dengan lawatan ke pelbagai lokasi menarik, namun kami mengelak daripada atur cara yang ketat kerana tidak mahu semua pihak yang menyertai acara ini terburu-buru dan tidak puas.
“Kami cuba menyusun atur cara yang membangkitkan suasana santai, tenang dan menyeronokkan kerana percutian seharusnya berakhir dengan sesuatu yang menggembirakan dan bukan menambahkan lagi tekanan,” katanya.
Kata Ab Rahman, pelanggan tidak perlu bimbang soal makanan kerana mereka akan dibawa menikmati hidangan di restoran bertaraf empat dan lima bintang yang menyajikan makanan halal dan menyelerakan.
Malah, pakej yang ditawarkan turut menitikberatkan penjagaan waktu solat supaya pelanggan tidak mengabaikan kewajipan terhadap suruhan Allah.
“Dengan kelebihan yang ada ini, POTO sering menjadi pilihan kerana kami antara syarikat Bumiputera yang pernah mendapat pengiktirafan daripada syarikat penerbangan luar negara.
“Dengan pengiktirafan itu, secara tidak langsung membuktikan syarikat pelancongan Bumiputera juga mempunyai kelayakan dalam mengendalikan perkhidmatan secara profesional dan dedikasi, setanding syarikat pelancongan asing,” katanya.
INFO: POTO Travel & Tours Sdn Bhd
Hantar kepada kawan Format pencetak


