Oleh Serimah Mohd Sallehyuddin
Diana pilih rekaan Michael Shu serlah penampilan kali pertama lalui permaidani merah di puncak Genting
SI manis 17 ini buat pertama kalinya bakal menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007) walaupun sudah banyak anugerah yang dihadiri. Gadis cantik berwajah Pan Asia ini tetap tidak sabar merasai sendiri prestij ABPBH yang sering diperkatakan orang.
“Tidak sabar rasanya mahu menjejakkan kaki ke ABPBH. Sebelum ini, saya hanya mendengar orang bercerita mengenai prestij dan kehebatan ABPBH. Tapi tahun ini saya sendiri berpeluang merasakan apa yang dimaksudkan dengan kegemilangan ABPBH,” kata Diana Danielle yang bakal menggayakan rekaan Michael Shu tanggal 30 Mac ini.
Memiliki wajah jelita dan susuk tubuh tinggi lampai ternyata memberi kelebihan kepada Diana untuk menggayakan apa saja pakaian. Semuanya nampak terletak di badannya. Tetapi itu cuma pandangan orang luar, siapa kata Diana tidak menghadapi masalah dalam bab memilih pakaian.
Kata Diana, dia juga menghadapi dilema tatkala memilih pakaian sesuai. Dengan usianya yang masih remaja, seboleh mungkin dia cuba mengelak daripada tampil dengan gaya yang akan membuatkan dirinya kelihatan lebih berusia daripada umur sebenar. Ringkas sudah memadai katanya, malah Diana cuba mengelak daripada keterlaluan kala berfesyen.
“Siapa kata saya tidak menghadapi masalah, lebih-lebih lagi saya baru saja berusia 17 tahun. Saya tidak mahu kelihatan berlebih-lebih, nanti nampak berusia pula dari usia sebenar. Sebelum ini saya tidak punya pilihan. Apa saja yang diberikan, saya pakai tanpa banyak soal. Itu yang menyebabkan ada kalanya penampilan saya kelihatan berusia.
“Bagaimanapun kali ini saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengan Michael Shu. Dia senang untuk dibawa berbincang dan dia juga akan memberikan idea rekaan bagaimana yang sesuai untuk saya. Selain itu, saya percaya kepada Mama. Dia juga salah seorang yang menjadi rujukan saya.
“Mama tahu apa yang sesuai untuk saya. Tiada ibu yang mahu melihat anak mereka buruk. Mungkin orang di luar menganggap Mama terlalu mengongkong. Sebaliknya saya pula selesa setiap kali Mama berada di sisi menjaga dan menentukan apa yang terbaik untuk saya. Kehadiran Mama tidak pernah mengekang kebebasan saya seperti yang orang lain sangkakan,” jelas gadis manis ini.
Bergelar selebriti bukanlah satu karier mudah untuk dipikul. Karier ini menuntut kesabaran yang mendalam, biarpun baru dua tahun meniti perjalanan sebagai anak seni. Diana ternyata tidak mampu lari daripada dilempar dengan pelbagai persepsi negatif. Dia sendiri kurang faham kenapa semua itu harus terjadi. Dia memegang kepada prinsip iaitu tidak mengambil pusing dengan apa yang diperkatakan orang.
Jika kata-kata negatif dilemparkan kepada dirinya gadis manis berperwatakan lembut ini tidak ambil peduli. Tetapi paling Diana tidak tahan apabila orang yang bertanggungjawab membesarkannya iaitu ibu yang turut memegang peranan sebagai bapanya dilemparkan pelbagai tohmahan
Kelibat ibunya yang sentiasa menemaninya ke mana saja juga menjadi percakapan orang sehingga Diana pelik, kenapa orang di luar lebih tahu dia terkongkong hanya disebabkan ke sana-sini ibunya ada di sisi. Walhal, dia sendiri tidak merasakan sedemikian.
Apabila ibunya sentiasa menemani, dikatakan ibunya mengongkong. Bagaimana pula sekiranya dia terbabit dengan masalah sosial, nanti dikatakan ibunya tidak pandai menjaga anak seorang. Itulah yang mendatangkan dilema kepada Diana dan juga ibunya.
“Kalau Mama tidak menjaga saya, orang akan kata Mama tidak pandai jaga anak. Apabila Mama sentiasa berada di sisi saya pula, orang kata Mama ‘over’ malah ada yang kata Mama gila glamor.
“Bukan itu saja, orang luar yang tidak kenal siapa saya juga pandai-pandai mengatakan saya anak angkat hanya kerana rupa saya tidak sama dengan Mama. Bukan kami yang minta tetapi Tuhan sudah bagi macam itu. Bagi saya, tidak perlu membuang masa untuk menjelaskan kepada orang ramai. Hal peribadi, adalah hak peribadi saya,” katanya.
Bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, Diana kini sibuk menghadiri kelas tambahan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju hidupnya. Selepas selesai menduduki SPM, Diana sudah merancang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya lakonan kerana itu adalah minat utamanya.
Biarpun akan menumpukan perhatian yang lebih kepada kerjaya lakonan, hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tidak pernah padam dari lubuk hati Diana.
Bagaikan puteri
MAHU kelihatan seperti puteri, itulah kata Diana ketika ditanya potongan baju yang mahu digayakan pada ABPBH nanti. Diana memilih warna merah jambu terang, sementara corak batik yang menjadi tema ABPBH 2007 diserahkan sepenuhnya kepada Michael Shu.
Menurut Michael pula, setakat ini mereka masih belum berbincang rekaan yang bakal digayakan Diana. Perbincangan akan dilakukan sekembalinya Diana dari Mumbai, India minggu depan. Wanita berkulit putih bersih itu terbang ke India bersama ibunya bagi menyelesaikan rakaman iklan Fair & Lovely.
“Fabrik sutera organza akan saya gunakan untuk menghasilkan gaun Diana. Bagaimanapun sebelum saya mereka pakaian, saya akan melihat karakter dan personaliti seseorang terlebih dulu. Lagipun, Diana masih muda, jadi saya perlu hasilkan gaun yang sesuai dengan usianya supaya dia tidak kelihatan berusia.
“Corak batik yang saya hasilkan untuk gaun Diana nanti adalah hasil tangan saya sendiri. Saya memilih corak abstrak tetapi sesuai dengan tema ABPBH nanti. Selain itu juga, saya akan mereka kasut untuk dipadankan dengan gaun Diana yang juga bercorak batik,” kata Michael yang memerlukan masa seminggu untuk menyiapkan sehelai gaun.
INFO:
Hantar kepada kawan Format pencetak


