Rezeki tak pernah putus
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 jadi penawar kepada Hazami
ENAM bulan album ketiganya, Nyata berada di pasaran, kehadiran produksi yang buat pertama kali menampilkan Hazami sebagai penerbit menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada peminat kerana kelahirannya seperti tidak disedari khalayak.
Masalah dalaman syarikat rakaman yang dinaunginya, Warner Music menguji kesabaran penyanyi yang mula melonjak menerusi lagu Sonata Musim Salju ini, lantas mendorong siri promosi album itu terpaksa ditunda seketika.
Benar kata Hazami, di sebalik setiap dugaan pasti ada rahmat yang tersembunyi. Berharap mendung yang datang akan segera berlalu, apa yang termampu dilakukannya adalah bersabar dengan ujian yang ditempuhi.
Namun pada masa sama, dia turut menumpahkan seluruh keringat untuk mempromosikan album itu tanpa terlalu bergantung kepada syarikat rakaman.
Faham dengan situasi Warner Music, penyanyi berusia 33 tahun itu tidak mahu menuding jari menyalahkan mereka. Baginya, syarikat rakaman itu sudah banyak membantu menaikkan namanya.
“Selepas enam tahun dalam industri, saya sudah memahami jatuh bangun sebagai anak seni. Bukan mahu menutup kesilapan mereka, sebaliknya saya menghargai usaha Warner yang banyak membantu menaikkan karier saya sebagai penyanyi.
“Tanpa mereka sukar untuk penyanyi bernama Hazami membolosi pentas komersial, justeru apabila masalah dalaman berlaku tidak wajar sekiranya saya terus menyalahkan syarikat rakaman. Mereka sudah menjalankan tanggungjawab, cuma masalah dalaman berlaku menyebabkan banyak perancangan terhenti.
“Terserah kepada saya sama ada dapat bersabar atau tidak, membuatkan saya terfikir mengapa perlu pantas mengalah. Syukur kerana jentera promosi mereka sudah mula bernafas.
“Sekarang masa untuk kami menggiatkan semula siri promosi yang terhenti seketika dulu,” kata Hazami ketika ditemui pada siri promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 di Kuantan Parade, Kuantan, baru-baru ini.
Dilambung ombak dugaan, diuji laluan perit yang tidak putus melingkari perjalanan seninya, Hazami berupaya menghela nafas lega kerana biarpun perlahan rezekinya tidak putus.
Bahkan katanya, meskipun tidak banyak publisiti diberikan mengenai kehadiran Nyata, dia langsung tidak menyimpan perasaan kecewa.
“Mungkin kerana sudah terbiasa dengan keadaan ini membuatkan saya tidak terlalu memikirkannya. Situasi itu bukan sesuatu yang asing bagi saya.
“Bayangkan Mungkir Bahagia dulu mengambil masa enam bulan untuk diterima. Puas saya mempromosikan lagu itu, menyanyi di mana saja undangan persembahan namun orang masih mahu mendengar Sonata Musim Salju.
“Jadi, apabila keadaan ini berlaku mengapa harus saya pantas menyerah kalah. Semua proses itu mengambil masa dan saya tidak akan jemu memperkenalkan lagu baru.
“Saya percaya, apabila sudah sebati peminat akan dapat juga menerimanya,” kata penyanyi yang sedang popular dengan lagu Madah Cinta Bersulam Dusta dan Ayuh itu.
Pernah meraih trofi Artis Baru Lelaki Popular, ABPBH 2004, Hazami melihat pencalonannya dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, ABPBH 2007 sebagai penyuntik semangat untuk terus memperkasakan perjalanan karier seninya.
Akui Hazami jujur, dia masih terkejut dengan kepercayaan peminat kerana ketika berdepan situasi menyukarkan dalam karier nyanyiannya, mereka tidak pernah melupakan bakatnya.
“Saya terharu kerana peminat terus memberikan peluang, malah pencalonan ini membuktikan hasil kerja saya dihargai. Ia adalah penghargaan kepada saya, sekali gus memberikan ruang untuk lebih mendekati peminat menerusi pelbagai siri promosi menjelang acara ini.
“Siapa saya tanpa peminat, saya juga tidak akan ke mana tanpa bantuan media membuatkan saya harus berterima kasih kepada Berita Harian yang mengangkat hasil karya dan usaha penggiat seni menerusi ABPBH,” katanya.
Akur sesekali terselit rasa terkilan kerana tidak berpeluang berada di lokasi promosi lantaran terikat dengan jadual kerja yang ketat, Hazami memuji usaha Berita Harian yang menghargai pembaca serta penggiat seni menerusi acara ini.
Akuinya, tidak mudah untuk menganjurkan acara sebesar ABPBH 2007 yang menghimpunkan semua penggiat seni di bawah satu bumbung, Hazami berkata, peluang mendekati peminat tidak harus dilepaskan.
“ABPBH 2007 menyediakan platform untuk penyanyi seperti saya memperkenalkan album terbaru. Dalam situasi pasaran yang semakin mengecil, peluang bertemu peminat pada acara terbuka seperti ini juga agak terbatas.
“Dengan adanya siri promosi ABPBH 2007, ia memberikan ruang kepada kami mendekati peminat dan pada masa sama melihat reaksi mereka dengan hasil karya terbaru.
“Ini semua memberikan kepuasan maksimum kerana maklum balas secara langsung dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan karya yang lebih memenuhi cita rasa penggemar, di samping mempamerkan kematangan kami sebagai anak seni,” katanya.
PROFIL:
Nama Penuh: Ahmad Nor Kamal Hazami
Nama Komersial: Hazami
Tarikh Lahir: 22 Februari
Tempat Lahir: Ipoh, Perak (dibesarkan di Pulau Pinang)
Adik Beradik: Anak kelima daripada tujuh
Tinggi/Berat: 164 sm/59 kg
Pendidikan: Brunel University West London
Pencapaian: Artis Baru Lelaki Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003, Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2004, Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu Ke-20 dan Juara Pop Rock menerusi Kata.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


