Peminat di Melaka sporting
Oleh Hardi Effendi Yaacob
Artis akui sambutan dan maklum balas peminat di Dataran Pahlawan Mall lebih ceria
SELEPAS Kota Bahru dan Kuala Terengganu, sesi road tour Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 pada hujung minggu lalu 'berkampung' pula di Dataran Pahlawan Mall, Bandar Hilir, Melaka. Seperti dijanjikan penganjur, pelbagai keunikan akan ditampilkan pada setiap lokasi yang dikunjungi, dengan perarakan finalis menaiki kereta lembu berhias menjadi gimik siri jelajah itu di Melaka.
Seramai 16 artis yang menyertai Road Tour ABPBH2007 di Melaka agak terkejut apabila dimaklumkan mereka akan diarak menaiki kereta lembu mengelilingi Bandar Hilir hingga ke Dataran Pahlawan Mall. Malah, keseronokan jelas terpancar pada wajah artis terbabit kerana berpeluang menaiki kereta lembu, yang mungkin ada di antara mereka kali terakhir menaiki kenderaan tradisional itu ketika masih kanak-kanak.
Kemeriahan siri jelajah itu semakin terasa apabila disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh peminat yang berkumpul di pintu masuk utama kompleks beli belah berkenaan dan hampir 5,000 yang lain emnanti di sekitar ruang legar Dataran Pahlawan Mall.
Dari pintu masuk utama kompleks beli belah itu sehingga ke pentas utama, calon akhir berkenaan tidak henti-henti dikerumuni peminat yang sentiasa mencuri peluang untuk bergambar atau bersalaman dengan mereka.
Road Tour ABPBH 2007 di Melaka dimulakan dengan celoteh bekas juruhebah terkenal, Isma Halil Hamzah, yang sememangnya dirindui suaranya selepas sekian lama tidak berkumandang di radio. Ia disusuli kemunculan pengacara popular, Aznil Nawawi dan Raja Azura yang bertindak sebagai pengacara majlis, sekali gus menggamatkan suasana.
Gelagat mereka yang spontan dan saling mengusik antara satu sama lain, memang mencuit hati pengunjung sehingga ada antaranya tidak kering gusi melihat aksi kedua-dua personaliti ini.
Diddy menjadi penyanyi pembuka tirai persembahan dengan menyanyikan dua lagu popularnya Hilang dan Lena. Kemudian menyusul persembahan Bard R1 yang menyanyi secara medley lagu Pesanan Buat kekasih, Satu Kesan Abadi dan Dari Sinar Mata bersama pemuzik pengiringnya secara akustik dari Kuala Lumpur.
Suasana bertambah gamat apabila Aznil dan Raja Azura `mendera' pengunjung dengan meminta mereka melakukan pelbagai aksi spontan di pentas seperti menari, bergelek dan sebagainya bersama-sama sebahagian finalis yang hadir.
Segmen itu antara yang menghiburkan sepanjang Road Tour ABPBH2007 di Melaka, lebih-lebih lagi apabila peminat diminta berdansa di atas pentas mengikut gaya dan kreativiti masing-masing. Mereka yang 'sporting' kerana berani naik ke pentas untuk diajak bermesra dengan personaliti tadi, tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima cenderamata istimewa sumbangan Habib Jewels.
Ada yang gugup dan malu tersipu-sipu kerana dikehendaki menari mengikut irama rancak bersama Aznil, Linda Onn, Raja Azura dan Fouziah Ghous. Antara kenangan menarik ialah apabila pasangan warga emas berketurunan Cina turut diundang menari bersama dan nyata mereka begitu sporting. Malah, wanita cinta itu juga dari awal sudah membawa sejambak bunga untuk dihadiahkan kepada penyanyi kesayangannya, Misha.
Mereka yang 'sporting' kerana berani naik ke pentas untuk diajak bermesra dengan personaliti tadi, tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima cenderamata istimewa sumbangan Habib Jewels. Sambutan di gerai jualan barangan cenderamata eksklusif ABPBH 2007 dan sesi bergambar menggunakan masthead Berita Harian juga begitu baik hingga tidak menang tangan petugas untuk melayannya.
Road Tour kali ini turut disertai Vanidah Imran, Misha Omar, Khairil Rashid, Zul Yahya, Julia Ziegler, Dynaz, Fiq dan kumpulan Kristal. Selepas selesai acara, rombongan artis dan urus setia dibawa menikmati ikan bakar di Muara Sungai Duyong sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur, jam 9 malam.
Selepas Melaka, Road Tour ABPBH 2007 bertandang di Kuantan Parade, Parade hari ini, diikuti dan Alor Star Mall, Kedah (14 - 15 Mac) sebelum berakhir di Johor dan SACC Mall, Shah Alam pada 22 -23 Mac ini.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


