Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Bakal melintasi permaidani merah di Arena Of Stars
TIDAK dapat disangkal, namanya kini antara yang paling kerap meniti bibir peminat. Sejak tahun lalu, populariti jejaka tampan ini kian melonjak, hasil kemunculan dalam beberapa telemovie dan drama. Emil Emilda pula ialah antara judul yang benar-benar menaikkan namanya apabila siri terbabit ditayangkan TV3.
Aaron Aziz akui, siri yang menggandingkan dirinya bersama pelakon terbaik, Sharifah Amani itu meninggalkan kesan yang besar terhadap dirinya dari segi populariti. Bahkan, dia berasakan, siri yang mengisi slot Samarinda itu juga yang akhirnya melayakkan dirinya sebagai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007) dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.
Turut dicalonkan peminat dalam kategori berkenaan ialah Arash Mohamad, Fahrin Ahmad, Datuk Jalaluddin Hassan dan Rosyam Nor.
Diminta ulasannya berhubung peluang menggenggam trofi rebutan ramai pelakon itu, Aaron dengan merendah diri berkata, sebagai artis yang baru hendak membuka langkah di negara ini, dia tidak mahu meletakkan harapan menggunung.
"Macam manalah saya hendak bersaing dengan seorang pelakon veteran yang sememangnya cukup dikenali ramai seperti Rosyam? Jadi, sebaiknya saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana menyedari tinggi rendah kedudukan diri.
"Namun, saya berasa cukup bertuah apabila turut dipilih peminat untuk sama-sama berada dalam kelompok akhir anugerah ini. Tanpa peminat, seseorang artis tidak ke mana. Justeru, kami sebagai artis amat berbesar hati dan berterima kasih kepada peminat yang kuat memberikan sokongan. Kalah atau menang kini ialah perkara kedua," kata pemuda berusia 32 tahun ini.
Ditemui pada majlis pelancaran filem Dia Datang yang bakal dibintangi bersama Saiful Apek, Airis Yasmeen, Kuna, Shukery Hashim, Jalaluddin dan ramai lagi, pelakon dari Singapura ini mengaku, dia mula mengetahui perihal kewujudan ABPBH sebagai acara anugerah utama pada tahun lalu.
Dan kini, dia sendiri bakal melintasi permaidani merah sebagai finalis, seterusnya menunggu dengan penuh debaran tatkala keputusan pemenang diumumkan pada majlis gilang-gemilang di Arena of Stars Genting Highlands, 30 Mac.
Dinobatkan sebagai paling popular bukanlah asing buat bapa kepada dua anak ini. Di Singapura, pemenang Mr Personality dan Mr Charming pertandingan Manhunt tahun 2000 ini sendiri pernah diumumkan sebagai Artis Paling Popular Suria pada Pesta Perdana edisi 2003 dan 2005 dan Top 3 Artis Paling Popular Suria bagi acara yang sama pada 2004.
Antara juri yang diundang pada acara berkenaan pada 2004 ialah Erma Fatima. Pengarah wanita itu nyata berkenan dengan pakej dimiliki Aaron, lalu mengundangnya berlakon dalam siri arahannya, Sumaiyah. Maka, tahun itu juga menandakan bermulanya langkah lakonan Aaron di Malaysia.
"Lalu tidak timbul persoalan apakah saya datang mencari ruang di negara ini setelah populariti saya kian merudum di negara asal. Sejak 2004 lagi saya menyimpan impian mencari tapak di Malaysia, sayangnya dua kali hasrat tertunda apabila isteri saya, Diyana Halik, sarat mengandung pada 2004 dan 2006. Ketika itu, peminat sedang menerima diri saya dengan baiknya.
"Hanya pada tahun lalu, saya boleh serius berlakon di Kuala Lumpur. Kini, saya sudah menetap di sini bersama anak dan isteri. Saya juga tidak lagi menerima tawaran berlakon di Singapura, berikutan jadual kerja yang mula penuh.
"Saya pula seorang artis yang tidak akan melakukan lebih daripada dua kerja pada satu-satu masa. Saya tidak mahu kerja saya terganggu dek rasa tamak. Namun, jika ada tawaran dari sana yang datang pada waktu sesuai, saya tentu akan mempertimbangkan, seperti ketika saya menerima undangan mengacarakan program kesihatan, tahun lalu," katanya.
Cerita musuhi Adi tidak betul
DITANYA desas-desus mengenai hubungannya yang dikatakan tidak baik bersama seorang lagi pelakon dari Singapura, Adi Putra, Aaron menyatakan tanggapan salah itu mungkin muncul berikutan salah tafsiran terhadap tindakannya menolak tawaran berlakon drama dan filem yang turut sama membabitkan pelakon berkenaan.
"Cakap-cakap yang mengatakan hubungan saya dengan Adi kurang baik itu tidak betul. Saya sendiri sudah lama tidak berjumpa dengannya. Saya tidak mempunyai sebarang masalah bersama pelakon itu. Cuma, mungkin ada yang salah mentafsir apabila saya menolak tawaran berlakon sebuah drama yang turut dibintanginya.
"Ketika itu, saya turut terbabit dalam projek lain. Lalu, keadaan tidak mengizinkan saya menjayakannya. Begitu juga ketika saya ditawarkan watak dalam Histeria (yang juga dilakonkan Adi). Waktu itu, saya terbabit dengan drama bersiri Bulan Bertemu Matahari arahan Erma. Watak saya dalam drama 30 episod itu cukup berat, lalu saya terpaksa menolak tawaran lain yang datang pada masa yang sama," tegasnya.
Mengenai filem komedi Dia Datang pula, jejaka ini memberitahu, dia sudah pun tertarik dengan skrip filem terbitan Noradz Productions itu sebelum mendapat tahu, filem berkenaan akan diarahkan pelawak popular, Saiful Apek.
Katanya, tawaran yang datang itu juga peluang keemasan untuknya menimba ilmu berlakon di samping aktor lebih berpengalaman dan veteran seperti Apek, Jalaluddin, Shukery, Zami Ismail, Ahmad Busu dan Imuda.
Filem dengan kos RM2 juta terbabit bakal menjalani penggambaran Mac ini dan berkemungkinan besar menemui penonton pada Februari tahun depan. Antara lain, ia mengisahkan dua pemuda, Enol dan Edd, yang menghadapi pelbagai rintangan ketika mengusahakan sebuah filem apabila terbabit dengan seorang penerbit, Datin Kat.
Pencapaian Aaron Aziz:
- Top 5 Pelakon TV Lelaki Popular, ABPBH 2007
- Artis Paling Popular Suria, Pesta Perdana 2005
- Pelakon Komedi Terbaik, Pesta Perdana 2005
- Top 3 Artis Paling Popular Suria, Pesta Perdana 2004
- Artis Paling Popular Suria, Pesta Perdana 2003
- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pesta Perdana 2003
- Eligible Bachelor, Cleo Magazine 2001
- Manhunt Mr Personality, Manhunt 2000
- Manhunt Mr Charming, Manhunt 2000
Hantar kepada kawan Format pencetak


