Aktiviti menarik tunggu pengunjung gerai BH
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
SIRI promosi jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 bukan hanya mendekatkan peminat dengan artis kesayangan mereka, sebaliknya turut membawa penggemar hiburan mendekati sejarah penganjuran acara berprestij itu.
Menemui peminat selama dua hari di lokasi terpilih, siri penjelajahan yang akan bertandang ke Kuantan Parade, Kuantan, Pahang, Sabtu dan Ahad ini turut memberi peluang kepada pencinta seni untuk lebih mendalami perjalanan di sebalik penganjuran ABPBH.
Acara yang bermula dari jam 10 pagi itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelbagai kelompok peminat, seiring dengan penganjuran siri promosi ABPBH 2007 untuk berterima kasih kepada semua penggemar yang menyokong perjuangan insan seni.
Ketua Rombongan Siri Promosi Jelajah ABPBH 2007, Mas Ayie Mas Omar berkata, selain mendekati objektif penganjuran acara hiburan paling dinanti, ia juga membawa pembaca Berita Harian untuk lebih memahami kandungan akhbar ini.
Selain menyajikan acara hiburan yang dijayakan finalis ABPBH 2007 pada hari kedua siri penjelajahan, aktiviti untuk kedua-dua hari itu turut menyediakan pelbagai atur cara menarik.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan karaoke, melukis serta pelbagai peraduan lain yang berlangsung di gerai Berita Harian.
“Peraduan mewarna untuk kanak-kanak dibahagikan kepada dua kategori iaitu 4 hingga 6 tahun bermula jam 2 petang, manakala yang berusia 7 hingga 9 tahun pula berlangsung jam 11 pagi.
“Selain menyediakan cenderamata eksklusif untuk dimiliki, pemenang bertuah juga akan membawa pulang wang tunai,” katanya.
Ayie berkata, sepanjang siri promosi diadakan di tiga lokasi terdahulu, sambutan yang diberikan peminat adalah di luar dugaan.
Malah katanya, aktiviti di gerai Berita Harian juga banyak membantu mempromosikan lagi ABPBH 2007 yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands.
Selain menjayakan aktiviti bersama artis terpilih, peminat juga berpeluang mendapatkan pelbagai barangan eksklusif edisi terhad ABPBH 2007 di gerai yang disediakan.
Antara barangan edisi eksklusif ABPBH 2007 yang berpeluang untuk dimiliki adalah jaket, kemeja T berkolar, kemeja T leher bulat, baby T, mug dan pelbagai lagi.
“Hadiah istimewa turut disediakan kepada R@kan BH yang membeli barangan eksKlusif ini. Bagaimanapun, tawaran terhad sementara stok masih ada,” katanya.
Untuk merancakkan lagi aktiviti ini, peminat akan dihiburkan dengan kemunculan istimewa penyampai radio terkenal, Isma Halil dan penyanyi remaja, Iqwal.
Siri promosi jelajah ABPBH 2007 di Kuantan Parade akan dijayakan artis seperti Sheila Rusly, Raja Azura, Hazami, Mila, Jaclyn Victor, Diddy, Fouziah Gous, FArah Asyikin, Julia Ziegler, Azwan Ali, Bard R1 serta penyampai HotFM iaitu Leya, AG dan Ikhwan.
“Mereka yang ingin mendapatkan hadiah menarik serta bersua dengan ramai selebriti yang juga finalis ABPBH 2007 dialu-alukan memeriahkan acara selama dua hari ini. Banyak acara menarik menanti, justeru jangan lepaskan peluang keemasan ini,” katanya.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


