Oleh Zainuri Misfar dan Farihad Shalla Mahmud

Pembaca Berita Harian demam menang Naza Sorento
BINTANG Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH2006), Mawi akan menggunakan sepenuhnya Naza Sorento 2.5 Litre CRDi Turbo Intercooled yang dimenanginya sebagai kenderaan peribadi, khususnya untuk tujuan berkaitan dengan kerjaya seninya.
Sehubungan itu, beliau tetap akan mencari masa sesuai bagi mendapat lesen memandu dengan secepat mungkin kerana berasakan tidak puas jika kenderaan yang dimenanginya tidak dapat dipandu hanya disebabkan masalah itu.
Sejak menjadi juara Akademi Fantasi Ke-3 (AF3) pada tahun 2005, Mawi sudah memenangi tiga kereta. Kereta pertama yang dimenanginya ialah Suzuki Swift diikuti dengan Kia Optima 2.0 (Automatik) kerana dipilih sebagai Bintang Paling Popular pada ABPBH2005.
Beliau juga ‘diberikan’ sebuah kereta Proton Savvy apabila dipilih menjadi duta untuk EON Services.
“Kereta Suzuki Swift dan Kia Optima ada di kampung dan digunakan oleh keluarga. Tapi untuk Naza Sorento ini, saya memang betul-betul hendak gunakannya.
“Memang saya perlu ambil lesen memandu kalau hendak bawa kereta ini (Naza Sorento). Saya akan ambil (lesen memandu) tahun ini juga,” katanya
Mengenai barang kemas Habib bernilai RM150,000, Mawi berkata, dia tidak akan memberikan kepada sesiapapun, sebaliknya hendak disimpan di bank untuk dijadikan harta peribadi.

CERIA: Andy menganggap kereta Sorento sebagai hadiah
ulang tahun pertama perkahwinannya bersama Sharifah Khadijah.
“Tahun lepas rantai mutiara yang saya dapat, saya bagi kepada emak. Tahun ini, barang kemas yang saya dapat ini, saya akan simpan di bank.
“Saya tidak terfikir untuk berikan kepada sesiapa. Tidak terlintas pun hendak dijadikan sebagai barang hantaran (perkahwinan). Tapi saya hendak jadikan benda ini (barang kemas Habib) sebagai satu harta hasil kerjaya saya,” jelasnya.
Selain Naza Sorento 2.5 Liter (Automatik) bernilai RM133, 232 dan barang kemas Habib bernilai RM150,000, Mawi juga turut menerima pakej penginapan mewah di ‘Head of State Suite’ di Hotel Palace of the Golden Horses.
Demam kerana terkejut menang hadiah utama
SEMENTARA itu, pembaca bertuah yang memenangi hadiah utama iaitu Naza Sorento 2.5 Liter, Andy Mokhtar, 25, dari Subang Jaya, berkata kereta yang dimenanginya itu dianggap sebagai hadiah ulang tahun perkahwinannya yang pertama.
Beliau yang berasal dari Tawau, Sabah mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Khadijah Syed Hussien, 26, pada 28 Februari 2006.
Katanya, beliau bertukar-tukar idea dengan isteri dan sepupu untuk mencari cogan kata terbaik kerana menyedari kemenangan adalah ditentukan pemilihan perkataan paling menarik, tidak pada tekaan yang tepat.
“Saya menghantar lebih 100 borang penyertaan. Tidak mudah sebenarnya kerana dengan 100 borang, banyak cogan kata kena cari. Saya tidak menggunakan cogan kata yang sama untuk semua 100 borang penyertaan.
“Lagipun saya hantar borang itu pun boleh dikatakan pada saat akhir iaitu dua minggu sebelum tarikh tutup penyertaan.
“Saya dan isteri terkejut apabila dimaklumkan memenangi kereta ini. Malah saya sampai demam kerana terkejut.
“Tapi dengan kemenangan ini, saya akan berikan sedikit sagu hati kepada sepupu kerana dia juga menyumbangkan idea,” katanya yang pernah memenangi hadiah sagu hati ketika pertama kali menyertai peraduan ini pada ABPBH2003.
Hantar kepada kawan Format pencetak


