Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Zainuri Misfar

SERONOK JUGA: Sebelum menghadiri majlis penyampaian hadiah
artis dibawa menaiki bot teksi untuk sampai
ke 'garden party'.
Pemilihan taman sebagai lokasi majlis dianggap menarik, berjaya cetus kelainan
KAWASAN East Garden Lawn, Hotel Palace Of The Golden Horses petang kelmarin dihiasi indah dengan pelbagai bungaan segar yang beraneka warna. Rona merah dan putih, yang selama ini menjadi warna korporat akhbar Berita Harian, melatari majlis yang cukup sederhana tetapi penuh bermakna buat mereka yang hadir.
Selepas lebih sebulan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH), tibalah hari yang dinantikan di mana artis, selebriti dan pembaca yang terpilih sebagai pemenang bertuah dihimpunkan sekali lagi dalam sebuah majlis khas untuk menerima ganjaran atas kemenangan mereka itu.
Walaupun ketika majlis bermula, sinar mentari masih terasa bahangnya namun itu bukan penghalang untuk artis dan pembaca menunjukkan komitmen mereka terhadap majlis itu. Bagi menambahkan kelainan dalam atur cara majlis, artis yang hadir didatangkan khas dengan menaiki bot teksi yang disediakan pihak penaja sebelum melintasi permaidani merah sebagai menyambut ketibaan mereka.
Lebih menarik apabila rata-rata artis dan pembaca yang hadir cukup sporting apabila berpakaian mengikut tema yang disediakan pihak penganjur iaitu merah dan putih. Walaupun ada beberapa artis tidak dapat menghadirkan diri atas alasan tertentu, namun kemunculan wajah popular yang lain seperti Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek, Aznil Nawawi yang memang diketahui kesibukan mereka, sudah cukup untuk menggembirakan pihak tuan rumah.
Tirai majlis dibuka dengan ucapan perasmian Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun dan diteruskan dengan acara penyampaian hadiah untuk kategori pembaca bertuah.
Sesuai dengan suasana santai, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan yang dijalankan secara berselang-seli dengan acara penyampaian hadiah.
Pemenang Anugerah Biduan Veteran, Jeffrydin membuka tirai persembahan dengan lagu popularnya, Kenanganku. Dengan seluar dan bertali leher merah, penyanyi berusia 62 tahun ini berjaya mengembalikan nostalgia zaman pop yeh-yeh apabila dia rancak menari mengikut alunan melodi yang didendangkan.
Persembahan petang itu kemudiannya diambil alih pemenang pelakon filem lelaki popular dan artis komedi popular, Saiful Apek yang berjaya menggamatkan suasana dengan lawak selambanya. Dengan mengundang juara Akademi Fantasia musim keempat, Faizal dan pengacara tersohor, Aznil mengiringi persembahannya, Apek menyanyikan rangkaian lagu popular tempatan dan Indonesia tetapi disampaikan secara komedi membuatkan hadirin yang menyaksikannya pecah perut menahan gelak.
Majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah untuk kategori artis sebelum diambil alih Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu Destinasi Cinta bersama sembilan orang peminat. Namun, kehadiran Siti hanyalah sebentar kerana sebaik saja selesai menyanyi, dia terpaksa bergegas pulang kerana ada perkara yang ingin diselesaikan.
Meneruskan atur cara, pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH yang lalu, Asmawi Ani atau Mawi memilih irama balada, Kian sebagai penutup kepada persembahan. Seperti biasa, pentas sederhana besar itu terus dikerumuni peminat yang ingin merakamkan wajah penyanyi itu dari dekat.
Sesuai persembahan Mawi, majlis disambung dengan acara penyampaian hadiah utama bagi kategori pembaca di mana pengusaha gerai makanan, Andy Mokhtar Ismail Cheng terpilih sebagai pembaca bertuah yang layak membawa pulang hadiah sebuah Naza Sorento 2.5 litre bernilai RM133,232 manakala pemenang kedua, Mohd Azli Aziz menerima barang kemas Habib bernilai RM50 ribu.
Begitu juga dengan Mawi yang kini menambahkan koleksi kereta yang sedia ada apabila membawa pulang sebuah Naza Sorento 2.5 litre bernilai RM133,232 yang juga tajaan Naza Kia Sdn Bhd. Selain kereta, Mawi juga menerima ganjaran lain seperti barang kemas Habib bernilai RM150 ribu tajaan habib Jewels Sdn Bhd dan pakej penginapan mewah di “Head of State Suite”Hotel Palace Of The Golden Horses.
Majlis yang penuh bermakna ini bukan saja untuk pemenang menerima ganjaran masing-masing tetapi juga menjadi medan untuk artis beramah mesra dengan peminat yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seni mereka. Jika sebelum ini mereka hanya mampu melihat dari jauh artis kesayangan mereka menerusi acara ini, mereka juga berpeluang untuk berbual dan merakamkan gambar bersama.
Itulah kelebihan ABPBH yang diadakan setiap tahun. Ia bukan saja menobatkan artis mana yang popular tetapi juga memberi peluang kepada pembaca merealisasikan impian untuk bertemu artis pujaan mereka.
Mengulas perjalanan majlis, Pengurus Pemasaran dan Promosi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) Mas Ayie Mas Omar menyifatkan acara tahunan ini berlangsung dalam keadaan sempurna serta mengikut seperti yang dirancang.
“Secara peribadi saya anggap majlis ini hebat. Saya jarang melihat ada majlis dibuat dalam suasana seperti ini. Selalunya dibuat dalam dewan hotel, tapi kali ini Berita Harian mahu kelainan, buat dalam taman. Ia berjaya menimbulkan suasana yang berbeza dengan apa yang pernah pihak kami anjurkan sebelum ini,” katanya.
Hantar kepada kawan Format pencetak


