Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Malam kemuncak ABPBH 2006 beri peluang artis popular pamer fesyen pereka pilihan
SEPERTI biasa, majlis anugerah juga adalah medan buat artis menggayakan fesyen rekaan pereka kegemaran mereka. Sesuai tema anugerah - 20 Tahun Gemilang Bersama Bintang - selain tema pakaian ke acara itu berkonsepkan tuksedo (lelaki) dan anggun-glamor (wanita), selebriti popular muncul pada acara permaidani merah dengan pelbagai fesyen menarik dan memikat jiwa.
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 juga tidak kurang meriahnya dengan penampilan menawan kalangan selebriti yang hadir memeriahkan acara. Cuma pada acara yang memasuki tahun ke-20 penganjurannya itu, selebriti lelaki dan wanita yang tampil dengan pakaian terbaik mengikut tema, pulang dengan habuan lumayan.Pada kali ini, penaja utama anugerah ini, Habib Jewels Sdn Bhd dengan bermurah hati menyediakan dua hadiah istimewa berupa barang kemas bernilai RM10,000 setiap satu untuk pemenang pakaian terbaik. Keputusan yang diumumkan pada majlis meraikan pemenang dan finalis serta tetamu kenamaan menyebelahi pelakon Fahrin Ahmad dan ratu filem Melayu komersial, Erra Fazira.
Fesyen dan Fahrin memang tidak boleh dipisahkan. Sebelum membabitkan diri secara serius dalam lakonan, jejaka tampan ini sering kali dilihat menggayakan pelbagai jenama pakaian, sama ada menerusi akhbar, majalah mahupun televisyen.
“Saya memang mencintai dunia fesyen. Begitupun dalam dunia fesyen lelaki, seperti acara yang membabitkan pakaian seperti tuksedo ini, agak rumit sebenarnya untuk seseorang artis lelaki tampil berbeza. Lalu, apabila berkunjung ke Lord’s Tailor di Jalan Ampang baru-baru ini, saya terfikir cara bagaimana untuk nampak lain daripada orang lain.
“Kecantikan tuksedo yang saya kenakan malam ini sebenarnya terletak pada gaya potongannya. Saya pula amat bertuah apabila Lord’s Tailor mampu menyediakan pakaian yang bukan saja cantik, tetapi amat selesa dipakai. Sudah tentu, selepas ini, saya akan ke kedai ini lagi apabila saya memerlukan pakaian rasmi,” kata Fahrin.Kata pelakon yang bakal muncul menerusi filem seram, Puaka Tebing Biru, tidak lama lagi, dia seorang gemarkan kesederhanaan dalam berfesyen.
“Disebabkan itu saya memilih tali leher kupu-kupu putih untuk dikenakan dengan baju putih dan jaket serta seluar hitam ini. Ia nampak sederhana, tetapi kerana potongannya yang baik, juri tetap terpikat dengan hasil sentuhan Lord’s Tailor ini,” kara Fahrin yang akan menyimpan hadiah kemenangannya pada malam berkenaan.
Sementara itu, pereka gaun Erra, Hatta Dolmat pula berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan pengurus artis terkenal itu, Syed, mereka bersetuju untuk mencantikkan penampilan aktres berkenaan dengan sehelai gaun yang diinspirasikan aura glamor era 1930-an dan 1940-an, serta gaya anggun Marilyn Monroe.
“Jika tahun lalu, gaun ciptaan saya agak meleret-leret, kali ini saya inginkan sesuatu yang berbeza. Jadi, apabila Erra ingin mengenakan gaun rekaan saya, ia mestilah kelihatan eksklusif dan banyak bermain dengan gaya potongan. Teknik lipatan pada bahagian kainnya juga banyak memainkan peranan.
“Saya memerlukan kira-kira dua minggu untuk menyiapkan gaun menggunakan fabrik satin emas ini, manakala bulu itu pula digayakan atas pilihan Erra sendiri. Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pelakon terkenal itu, kerana memberikan peluang kepada pereka baru seperti saya untuk memperagakan rekaan,” kata Hatta yang baru aktif setahun lebih dalam bidang rekaan selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara.
Hantar kepada kawan Format pencetak


