Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
SELAMA 45 tahun berkecimpung dalam dunia seni, inilah pertama kali beliau menerima pengiktirafan tertinggi. Malam Ahad lalu melakar sejarah tersendiri buat penyanyi pop yeh yeh terkenal Jefrydin.

Dalam usia 60 tahun, Jefrydin tidak menyangka masih ada pihak yang menghargai perjuangannya seninya selama ini, apabila dia dipilih menerima Anugerah Biduan Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006.
Seingat Jefrydin, hanya tiga kali dia menerima anugerah. Kali pertama pada 1965 menerusi pertandingan Bintang Suara Emas dan The Best Of The Song di Singapura dan baru-baru ini pada Majlis Anugerah Kecapi Papita 2006.
Justeru, pengiktirafan ini amat bermakna buat seorang bintang veteran sepertinya kerana dia langsung tidak menyangka bakatnya terus dihargai.
Suaranya menahan sebak bila diberi peluang berucap di hadapan lebih 5,000 penonton. Masakan tidak, pada usia 60 tahun barulah dia berpeluang menggenggam trofi yang diberikan pada satu majlis penganugerahan berprestij.
“Saya terkejut dan bersyukur kepada Tuhan kerana masih ada insan yang menghargai perjuangan saya, sedangkan kita ada ramai artis lain. Tidak tahu bagaimana harus saya membalas kembali budi baik Berita Harian yang memberikan penghormatan seperti ini kepada saya.
“Saya rasakan seperti menerima Anugerah Grammy pula. Seumur hidup saya, inilah anugerah paling hebat yang saya rasai dan tontoni,” katanya yang terkenal dengan lagu Siti Haida dan Mas Mona.
Pada mulanya, kata Jefrydin, dia tidak percaya apabila menerima surat daripada penganjur mengenai penganugerahan itu. Sempat dia melipat kembali helaian surat yang diterimanya, kemudian diberikan kepada anaknya pula untuk dibaca.
Dia sangkakan, sekadar pencalonan untuk anugerah berkenaan di samping artis veteran lain. Bagaimanapun, setelah dibaca sekali lagi barulah dia menyedari bahawa anugerah itu diberikan khas untuknya.
“Pernah juga terdetik dalam hati saya sebelum ini, adakah saya tidak layak untuk dihargai? Tapi, saya pujuk hati supaya banyakkan bersabar. Ternyata kesabaran ini terbayar jua apabila saya dipilih untuk Anugerah Biduan Veteran pada ABPBH 2006.
“Barulah terasa tidak sia-sia perjuangan dalam dunia seni suara apabila ada yang sudi memberi anugerah ini kepada saya. Saya tidak akan berhenti daripada menyanyi selagi kudrat mengizinkan, malah saya akan muncul dengan rakaman album terbaru tidak lama lagi,” katanya.
Jefrydin berpegang kepada prinsipnya selama ini iaitu tidak melupakan kedua-dua orang tua jika ingin kekal lama dalam dunia yang diceburi. Malah, beliau menasihatkan artis baru supaya tidak melupakan pihak media massa yang banyak memberikan publisiti kepada kerjaya seseorang artis.
“Artis baru perlu ingat, adanya mereka dalam persada ini kerana media. Kita juga tidak boleh sombong pada masyarakat dan orang tua. Imej harus dijaga dan artis baru juga perlu ada imej tersendiri serta jangan cuba meniru orang lain,” katanya.
Hantar kepada kawan Format pencetak


