Oleh Akmal Abdullah dan Zainuri Misfar
Siti Nurhaliza mungkin rampas kembali gelaran tetapi Mawi, Saiful Apek dan Fasha Sandha dapat undi selesa

MALAM esok akan terjawab segala-galanya. Anugerah Bintang Popular Bintang Harian (ABPBH) 2006 yang bertemakan 20 Tahun - Gemilang Bersama Bintang akan mencapai kemuncaknya di Arena of Stars, Genting Highlands. Jam 9 malam esok, ia turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan radio Era.
Kemeriahan akan dapat dirasai di puncak Genting apabila hampir 6,000 penonton dijangka memenuhi arena itu.
Kini, persoalan siapa yang bakal menjulang trofi utama - Bintang Paling Popular 2006 - menjadi sebutan. Ramai menjangkakan, pemenang tahun lalu, Mawi bakal mempertahankan kejuaraannya dengan sekali lagi meraih gelaran itu. Namun, nasib Mawi tahun ini bukan penentu kerana prestasi popularitinya yang dikatakan mula merosot.Apapun, jangan lupa bahawa Mawi masih mempunyai ramai peminat setia dan fanatik yang terus setia kepadanya dan kebarangkalian untuk dia menang lagi tetap ada.
Namun, berdasarkan sumber daripada penganjur, sesuatu yang mengejutkan dalam keputusan ABPBH kali ini ialah keupayaan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang sudah enam kali memenangi gelaran itu, dijangka boleh merampas semula takhta berkenaan berikutan prestasinya yang memuncak semula.
Siti berada dalam kedudukan selesa untuk menebus kembali kekalahannya kepada Mawi tahun lalu berikutan undian kepadanya juga semakin meningkat, tetapi mendapat saingan sengit bukan saja daripada Mawi, malah beberapa nama lain terutama Saiful Apek dan Rosyam Nor.
Sumber juga berkata, kemungkinan nama lain bakal menggondol anugerah tertinggi itu kini menjadi sebutan. Ini akan memberi kejutan pada malam esok apabila nama Fasha Sandha, Faizal AF4 dan Erra Fazira disebut-sebut sebagai pemenang Bintang Paling Popular.
Malah, Aznil Nawawi, Ogy Ahmad Daud dan Ina Naim dikatakan turut meraih undi semakin baik dari sehari ke sehari, sekali gus mampu memberi saingan untuk memperoleh hadiah lumayan, koleksi eksklusif berlian Habib bernilai RM200,000 tajaan Habib Jewels Sdn Bhd serta kenderaan Naza Sorento 2.5 (A) tajaan Naza Kia Sdn Bhd.
Namun, bagi 16 kategori yang bertanding pada ABPBH 2006, ia turut menyaksikan saingan sengit berlaku bagi kategori pelakon filem dan TV. Bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, agak susah untuk meramalkan populariti finalis kategori ini. Begitupun, Que Haidar dan Farid Kamil adalah dua pelakon muda yang mendapat perhatian peminat dan memberi saingat sengit kepada penyandang gelaran, Rosyam.
Afdlin Shauki berpeluang memenangi kategori ini kerana gaya lakonannya yang mencuit hati dalam filem Baik Punya Cilok atau Buli Balik. Namun, Saiful Apek yang menyerlah menerusi Cicak-Man dan Nana Tanjung memberi sedikit peluang kepadanya untuk meraih gelaran itu. Memang sukar untuk Rosyam mengekalkan kedudukannya kali ini.
Erra mampu rampas gelaran Pelakon Filem Wanita Popular
RATU filem Melayu komersial, Erra Fazira masih menjadi tumpuan biarpun lakonannya dalam filem Pesona Non-Grata tidak mencapai box-office. Tapi, dari aspek lain membabitkan kisah peribadinya, boleh meletakkan Erra kekal sebagai pelakon bintang filem popular.
Fasha Sandha adalah nama baru yang disebut-sebut memenangi kategori ini, selain Nasha Aziz, pelakon cantik ini juga mampu memberi saingan. Namun, Fasha menerusi lakonannya dalam filem tidak begitu menonjol tetapi popularitinya menerusi drama barangkali dapat membantu popularitinya. Umie Aida masih ada peluang menang kategori ini sekiranya berjaya menyaingi populariti Fasha atau Nasha.
Rita Rudaini calon ‘low profile’, tetapi beliau boleh mencipta kejutan. Rita pesaing paling senyap tetapi menjadi pencabar hebat kepada Erra, Fasha dan Nasha. Dia juga mempunyai peluang besar memenangi Pelakon Filem Wanita Popular.
Bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, nama Rosyam dan Arash Mohamad tidak boleh dipinggirkan ketika ramai yang beralih kepada bakat baru. Fahrin Ahmad ‘muka baru’ dalam kategori ini tetapi peluangnya agak cerah dan dia paling disebut-sebut bakal meraih gelaran ini. Zed Zaidi kurang menjadi sebutan, tetapi bukan bermakna dia tidak mempunyai peminat manakala Ako Mustapha juga memiliki kelompok peminat tersendiri dan berpotensi naik ke pentas malam esok.
Laluan Raja Azura mudah, Fasha getir
BAGI kategori Pelakon TV Wanita Popular, ia menyaksikan persaingan paling sengit membabitkan Abby Abadi, Eja dan Fasha Sanda dan Sheila Rusly. Sebagai penyandang juara, Fasha kali ini berdepan cabaran getir daripada Eja dan Abby kerana kedua-duanya menampilkan lakonan cukup baik dalam drama masing-masing.
Sheila dan Rita Rudaini boleh mencuri tumpuan kerana mereka sememangnya calon underdog.
Bagi saingan dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular, kategori ini menampilkan saingan sesama sendiri antara ahli Senario dan bekas anggotanya, iaitu Mazlan Pet Pet, Saiful Apek, Wahid dan Yassin Yahya. Hanya Afdlin Shauki yang menjadi pencabar hebat kepada empat sekawan ini.
Biarpun bukan pelawak, penampilan Afdlin sebagai pelakon komedi dalam Baik Punya Cilok, Buli Balik atau Diva Popular meninggalkan kesan besar kepada peminatnya. Begitupun, Yassin pastinya jadi tumpuan selain Saiful Apek. Kedua-duanya ada pengaruh besar dan komedi mereka bersahaja masih digemari berbanding Mazlan dan Wahid. Imej bersih Yassin kini mampu memberi sesuatu yang mengejutkan malam esok. Nantikan saja detik bersejarah itu. Kategori Artis Komedi Wanita Popular menyaksikan hos ABPBH 2006 - Raja Azura mencipta laluan mudah untuk kembali memenangi gelaran itu.
Namun, Sharifah Shahira menjadi calon pilihan utama untuk memenangi trofi berkenaan kerana gelagatnya yang sering dilihat sebagai ‘gila-gila’ sama ada ketika menjadi pengacara atau dalam lakonan.
Aliza Abdullah atau Enot dan Sheila Rusly pula popular kerana mereka berjaya menghidupkan watak komedi dengan baik. Sheila juga dijangka dapat mengekalkan kemenangannya kali ini.
Jangan lupa dengan Adibah Noor yang turut tersenarai sebagai finalis Artis Komedi Popular kerana populariti penyanyi Yang Teristimewa ini sedang memuncak, lebih-lebih lagi selepas memenangi Anugerah Juara Lagu 21.
Hantar kepada kawan Format pencetak


