Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Kemuncak malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 menjanjikan persembahan hebat

SERIUS: Ramli ketika sesi latihan bersama barisan pemuzik
yang menguatkan acara ABPBH 2006.
RAPTAI penuh ABPBH 2006 hanya akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands malam ini. Namun, kehangatan acara yang memasuki tahun ke-20 penganjurannya itu semakin terasa apabila persiapan akhir makin rancak dijalankan.
Rabu lalu, sesi latihan membabitkan 21 artis yang bakal membuat persembahan pada malam gemilang itu bersama pemimpin pemuzik orkestra di bawah pimpinan maestro muzik terkenal, Ramli MS mula dibuat.
Biarpun sesi latihan hanya bermula pada lewat petang, semua artis memberikan komitmen padu, malah tampil bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik mereka.
Menariknya, acara persembahan yang diselangselikan dengan pengumuman nama pemenang itu turut diserikan beberapa nama baru yang sedang mencipta nama pada persada nyanyian.
Bagi Khafi yang bakal mempersembahkan lagu popular mereka, Fantasi Cinta, undangan untuk menyerikan acara ABPBH 2006 adalah penghormatan besar buat mereka.
Khafi dianggotai dua penyampai radio terkenal yang juga finalis ABPBH 2006 bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular iaitu Faizal Ismail dan Khairil Rashid.
“Nama Khafi masih baru, justeru kami bersyukur sangat apabila mendapat kepercayaan Berita Harian. Mulanya kami bercadang untuk membuat sedikit gimik, namun disebabkan masa terhad konsep persembahan terpaksa diubah sedikit.
“Kami akui agak berdebar dan teruja, lebih lagi apabila dapat bekerja di bawah pimpinan Ramli MS yang sememangnya dikagumi. Itu yang membuat kami tidak menolak tawaran yang diberikan,” kata Faizal.
Sementara itu, finalis Artis Baru Lelaki Popular, Fazli Zainal pula mengakui agak ragu-ragu apabila dijemput untuk menjayakan persembahan pembukaan ABPBH 2006.
Untuk segmen itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Harapan itu akan bergandingan dengan artis yang pernah menjulang trofi Bintang Paling Popular iaitu Mawi, Ziana Zain, Aishah dan bakat baru, Azfar.
“Tanggungjawab ini agak berat, tambahan pula saya diamanahkan untuk membawakan lagu popular Zainalabidin, Hijau. Saya membawa prestij lagu itu, justeru akan memberikan yang sehabis baik.
“Awalnya saya sendiri kurang yakin tetapi apabila difikirkan peluang ini tidak datang selalu. Jika tidak direbut, entah-entah peluang keemasan ini tidak akan datang lagi.
“Jadi, saya mencabar diri kerana ini juga peluang berharga untuk memperkenalkan lagi nama saya kepada umum,” katanya.
Menyentuh kerjasama dengan Ramli MS, akui Fazli, ia umpama mimpi menjadi kenyataan kerana jauh di sudut hati dia sudah lama ingin bekerja dengan pemuzik hebat itu.
Perasaan yang sama juga dikongsi Azfar.
Katanya, dia bersyukur kerana perjalanan awal karier nyanyiannya seperti direstui apabila mendapat tawaran bermakna ini.
Berbanding artis lain, Azfar belum mempunyai album penuh dan namanya hanya dikenali apabila menyertai program realiti, One In A Million, tahun lalu.
“Saya sering berangan untuk membuat persembahan pembukaan pada acara besar seperti ABPBH 2006. Alhamdulillah, peluang yang ditunggu itu menjelma juga.
“Saya melihat tawaran ini sebagai platform untuk memperkenalkan lagi nama. Ia umpama hadiah besar walaupun nama saya belum cukup dikenali ketika ini,” katanya.
Siti, Mawi turut buat persembahan
-------------------------------------------
MENJANJIKAN segmen persembahan yang dinanti serta berkualiti, kemuncak ABPBH 2006 menyaksikan nama terkenal seperti Asmawi Ani atau Mawi, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Misha Omar, Amy (Search), Hattan dan Awie berkongsi pentas pada malam gemilang itu.
Turut terpilih membuat persembahan ialah Aishah, Ziana Zain, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Ramlah Ram, Jaclyn Victor, kumpulan VE, Rahim Maarof, Noryn Aziz, Musli Amir serta bakat baru Nikki dan Farawahida.
Sementara itu, penyampai trofi pula dibarisi nama popular penyanyi dan pelakon pelbagai era seperti Rosyam Nor, Saiful Apek, Betty Banafe, Fahrin Ahmad, Rita Rudaini, Noramin, Ifa Raziah, Arash Mohamad, Maya Karin, Hans Isaac, Julia Hana, Farid Kamil, kumpulan Ruffedge dan Farahdhiya.
Tidak ketinggalan memeriahkan acara ialah Sazzy Falak, Yasmin Hani Richardson, Zainal Alam Kadir dan Amy Mastura. Pengacara terkenal, Raja Azura dan Fauziah Ahmad Daud bertindak sebagai pengacara majlis.
Jangan lupa saksikan persembahan istimewa sempena ABPBH 2006, malam esok. Siaran langsung dibuat menerusi TV3 dan radio Era. Ia diramalkan mampu meraih tarikan 4.5 juta penonton mengikuti siaran TV3.
Hantar kepada kawan Format pencetak


