Jumaat, 13 Oktober 2017 | 11:36am
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak bergambar dengan orang ramai pada Majlis Penutup Program Citarasa Malaysia (PCM) 2017 di Sri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

KRIM 2.0 buka peluang semua rakyat berniaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 menerusi konsep baharu yang bakal dilancarkan nanti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak akan mengehadkan peluang berkenaan kepada satu pengendali sahaja sebagaimana sebelum ini.

Beliau berkata, peluang itu diberi kepada mana-mana individu yang berkemampuan membuka kedai runcit dengan melihat potensi pelanggan masing-masing.

Tidak salah untuk memberi peluang kepada koperasi sedia ada yang sudah memiliki sasaran pelanggan masing-masing tetapi konsep baharu KR1M 2.0 kali ini adalah memberi peluang sama rata kepada orang ramai.

"Konsep baharu ini lebih terbuka, contohnya pengusaha stesen minyak atau peniaga kedai runcit sedia ada boleh menyertai KR1M 2.0 untuk menjual barang keperluan lebih murah kepada pelanggan mereka.

"Insentif yang diberikan kepada peserta program KR1M 2.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah memastikan beras, gula, tepung dan minyak masak lebih murah daripada tempat lain. Ini dijaga oleh kementerian saya.

"Harga murah ini akan menjadi tarikan utama rakyat memilih kedai KR1M 2.0. Malah pihak kami sudah berbincang dengan beberapa syarikat seperti lampin pakai buang yang boleh memberi harga lebih murah di kedai berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Citarasa Malaysia (PCM) 2017 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

KR1M yang diwujudkan untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara sejak tahun 2011 sudah ditutup pada September lalu.

Penutupan itu dibuat selepas kerajaan menamatkan kontrak pengendali KR1M, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) berikutan aduan orang ramai mengenai kedai itu yang menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.

Pada majlis itu, Hamzah turut melancarkan logo Transformasi Produk KPDNKK yang baharu diluluskan tiga bulan lalu sebagai penarafan produk berkualiti serta menepati piawaian sekali gus mengelakkan penyalahgunaan logo.

"Penggunaan logo baharu itu juga memudahkan PKS untuk memasarkan barangan mereka kepada pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Aeon, Aeon Big dan Lulu.

"Logo baharu ini juga digunakan seiring logo Buatan Malaysia yang sudah diperkenalkan sejak dulu bagi tujuan eksport produk PKS ke luar negara.

"Tujuan ia diperkenalkan adalah untuk mengawal dan memantau penyalahgunaan logo pada produk yang tidak disaring dan dijamin KPDNKK," katanya.

500 dibaca
Berita Harian X